School Of Tarbiyyah

Khamis, 23 Mei 2013

Kelab Anti-Usrah [KAU] versus ITMC


-kredit-

Pada masa zaman sekolah menengah berasrama penuh dulu, Asyrafee adalah antara individu yang sumpah mesti lemau punya sambil muka monyok macam pisang kena lenyek bila duduk bersama dalam suatu kumpulan asing a.k.a alien ini, yang dinamakan ‘usrah’. Maklumlah masa itu usrah adalah suatu sistem kewajiban dalam silibus sekolah yang mahu menerapkan nilai tarbawi dalam setiap sendi dan otot malah otak kehidupan pelajarnya, eh eh. Itulah pendefinisian usrah pada Asyrafee tika itu.

Bukan apa, pada dia bulatan gumbira yang diperkenalkan ketika itu sedikit membosankan minda, jiwa dan raga. Apatah lagi skopnya tersangatlah kecil, sekadar duduk-duduk diam di masjid sekolah sahaja, mendengar murobbi berceloteh itu ini, minggu ke minggu, bulan ke bulan, menyebabkan otak dia tepu, mata kuyu dan jiwanya sayu. Oh! Tepuk dahi.

Bahkan tiada silibus, matlamat dan semangat yang kental dalam setiap pembawakan usrah yang dijalankan,  menyebabkan dia semakin menjadi tidak enak untuk duduk menikmati pengisian yang dihidangkan. Bahkan lagi muai dan shah langsung pula tiada. Murobbi pun sekadar membaca kitab tanpa penerangan yang nyata, dan dia pula mendengar sehingga mata berpinar-pinar atas kepala ada bintang, rasa mahu baring terlentang dan kadang ada juga akhirnya sampai air liur terbuntang. Hoho khalakar kelakar.

Nasib baik sempat pula tu mengelap tempat air liur melelah yang dah terjatuh dengan hujung lengan baju melayunya. Habislah siapa yang solat dan sujud tepatnya di tempat bekas air liur itu jatuh. Hoho mesti berbau. Kekeke, kejam kejam.

Malah Asyrafee pernah beberapa kali berjaya dengan hurray-nya melarikan diri daripada terjebak ke dalam setiap aktiviti yang berbau kealiman yang dianjurkan oleh kumpulan tersebut. Maklumlah sudah senior dan baju pula berwarna biru pekat. Makanya, berkuasalah dia dengan cuba mengelakkan diri daripada setiap aktiviti bulatan keriangan tersebut. Cuma tidak terlaksana sahaja lagi misi terpendam dia untuk menubuhkan pula sebuah organisasi kegelapan lagi bersuluh yang dinamakan sebagai Kelab Anti-Usrah (KAU). Hoho jahat bukan.

Itulah dia, kejam kejam. Geleng kepala.

Namun sehinggalah atas takdir Allah, Asyrafee ter-ple-ot menyambung pengajiannya di sebuah IPTS swasta di ibu kota raya. Dia suka medikal, maklumlah budak sains. Dia yang mengambil bidang diploma Pembantu Perubatan (Medical Asisstance) lama-lama bila sudah masuk 3 bulan pertama, terasa terkena renjatan kejutan budaya. Stress.

Bukanlah kejutan budaya sangat, bukanlah nak kata juga suasana sewaktu Asyrafee di rumah dan asrama dahulu suasana seperti di surge, tiada hedonisme, tiada budaya memakan magi cintan sambil sedang keluar berdating (eh! ada ke?) dan bukan juga tiada budaya buli dan ragging (sila tengok kamus hoho!), bukan dan bukan. Geleng kepala.

Tapi maksud Asyrafee suasananya lain daripada suasana sekolah dahulu yang dekat dengan dia menyebabkan dia pula terasa rindu ber-maggi cintan cintun dengan bulatan alien yang dia sumpah meluat dulu. Maklumlah dengan budaya ukhwah fi jahiliyyah, coupling, gayuting, hedonisme dan segala bagai menyebabkan kadang dia mahu jatuh dan begitu frust dengan kehidupan. Selalunya melihat itu semua sekadar cerekarama di kotak bercahaya sahaja. Itu semua menyebabkan dia terasa hati dan jiwa tidak selesa dengan suasana tersebut sehingga tahap gaban. Semacam jiwa kosong. Tiada apa-apa.

Tarap pap pa macam iklan produk makanan barat itu. Mungkin juga sebab ada sedikit keimanan yang masih bertakhta ketat di jiwa, maka keimanan sejemput itu masih sudi membantu Asyrafee, mengelisahkan jiwa saya agar tidak ‘senang’ dengan suasana baru tersebut.

Terasa jiwa rindu pula dengan suasana biah muslih muslihah sekolah dahulu. Suasana yang persahabatan tiada sebab kepentingan sendiri, tiada cakap tikam belakang dengan kejamnya, punyai semangat untuk melakukan ibadah wajib, sunat apatah lagi. Suasana yang Asyrafee alami kini adalah tidak membina berbanding dahulu. Malah permulaannya dia  ingatkan akan bahagia jika sudah bebas daripada belenggu sekolah beragamanya dahulu, tetapi jauh di sudut hati yang mendalam itu adalah sangat gersang. Terasa tidak selesa dengan semua ini. Bebas itu akhirnya dia dapati salah pendefinisiannya, makanya dia faham bahwa, ini bukan cara hidup dia.

Itulah menyesal tidak mengikut bulatan gumbira dengan seriuslinya dahulu. Arakian berjalanlah Asyrafee seharian di tempat belajar IPTS tersebut ibarat zombi hidup. Muka lemau tidak bersemangat. Terasa diri sangat asing bila memakai pakaian sopan.  Dengan sistem pembelajarannya, ikhtilatnya yang sumpah gergasi, pemakaian bidadari-bidadari di situ yang fuh! seksa tak tahu nak cakap apa, dan kantoinya dia langsung tidak mempunyai sistem support di sini. Ibarat menunggu anai-anai merapuhkan iman sejemput dia. Cuma mulut sahaja tidak mengucapkan ‘otak’ berulang kali macam filem zombie bukan di kampong al-chemori itu.

Dan Asyrafee sumpah! Sedar bahawa hati dan iman dia sebenarnya memerlukan pengisian. Dan arakian bahawa dia memahami yang manusia sudah semestinya memerlukan ‘cawan hati’ nya diisi oleh sesuatu yang bermakna, iaitu sesuatu yang positif. Jika tidak diusahakan ‘cawan hati’ itu dengan kebaikan, makanya cas negatif akan mengambil alih komposisi dalam ‘cawan hati’ tersebut. Cawan hati itulah dinamakan iman, dan dialah antara orang yang memerlukan pengisian tersebut.

Pengisian iman.

Tak boleh baik-baik sendiri. Duduk diam menunggu surga jatuh ke riba tanpa usaha: itu yang Asyrafee faham.

Mujurlah dengan sedikit kefahaman ketika di sekolah dahulu, ajarannya masih lagi melekat dengan ketat di jiwa dan hati juga raga. Cuba juga mengamalkannya dalam kehidupan seharian sebagai pelajar pembantu perubatan yang muslih. Siang pergi kelas, malam-malam pula pergi ke surau. Mahu ajak rakan-rakan kadang-kadang segan malu-malu kucing.

Kadang terfikir satu soalan menjengah pemikiran Asyrafee. Tidak tahu pula kenapa bila berada di tengah-tengah masyarakat yang berbeza dengan suasana tarbawi sekolah dulu, semakin terasa kuat pula keinginan dia untuk mengamalkan Islam itu sendiri.

Semakin kuat untuk ajak-ajak kawan memampat-kan surau hostel, semakin membuak rasa untuk mengamalkan nilai-nilai murni Islam dalam sistem pembelajaran seharian, bahkan terasa jiwa memberontak untuk mengatakan: “Wei! Jom amalkan Islam!”. Ok Cuma tak terlepas je bicara tersebut. Tiada keberanian. Malu.

Semasa di sekolah dulu bukan kemain rasa membuak untuk memberontak, melawan kebaikan, melawan segala apa yang positif yang dimafestasikan oleh makan magi goreng (makluman: magi ketika itu termasuk antara barang ‘haram’ dimasukkan ke kawasan asrama) sorok-sorok belakang koridor asrama, menyorok dalam almari masa orang lain pergi solat, terbang a.k.a fly dari pagar sekolah dan segala bagai. Belum lagi menjadi 'joker' di waktu malam.

Tapi itu dulu, zaman nakal dia.

Zaman jahiliyah dia.

Maka berjalanlah Asyrafee setiap hari meng-islah diri. Seorang diri. Kesian kerana tiada siapa yang hendak sudi menemani.

Ya. Seorang diri. Tiada teman yang sefikrah dalam perjuangan menjalankan tarbiah kendiri. Memproses diri sendiri. Lemah!

Sunyi. Bunyi cengkerik.

Sehinggalah cahaya daripada langit muncul. Seorang ikhwah chubby hadir, batuk! mungkin Allah perkenankan doa Asyrafee yang menginginkan seorang pembimbing yang dapat membawa diri dengan lebih kuat lagi tanpa ragu menuju ke surga Illahi. Uniknya Asrafee bertemu dengan ikhwah chubby tersebut di sebuah surau diri jumaat, usai diri ikhwah tersebut berkhidmat untuk gerai jualan sebuah NGO Palestin.

Mereka berkenalan. Alangkah terkezutnya Asyrafee bila mendapati Ikhwah tersebut juga seorang yang mengambil dalam bidang perubatan, pengkhususan diploma in Nursing. Dahsyat pada dia. Tidak pernah berjumpa hakikat seperti itu.

Bukan apa, nurse? Usrah? Ikhwah? Hoho mustahil pada dia, tapi itulah hakikatnya ikhwah itu.

Ok. Asyrafee eksited ketika itu. Berbicara dengan ikhwah tersebut. Mukanya yang bersih suci lagi murni ibarat iklan muka loreal eh! meminta bantuan dia akan permasalah Asyrafee yang mengalami proses pengislahan seorang diri dan tiada tempat untuk kepala bersandar bahu . Berjam jugalah berborak. Sehinggalah terpacul daripada mulut ikhwah tersebut:

“Err kamu mahu ikut konferens sorga? Maksud saya ‘usrah’ ”

Zrettt. Siaran terganggu. Mata membulat. Konferens sorga? Usrah?

Arakian Kelab Anti-Usrah (KAU) kembali bertamu di minda.

‘Kenapa mesti usrah?’ Soalan ini pula menjengah di minda.

Seterusnya soalan tersebut diterjemahkan kepada lisan. Mata ikhwah chubby terangkat dua kali.

‘Eh! Kenapa dengan akhi ni?’ Tanya Asyrafee dalam hati. Muka pelik.

“ Ana eh! I means saya berikan satu contoh buat kamu. Mahu tahukah?” Dia menunjukkan jari satu Malaysia-nya, eh.

Senyum Asyrafee. Terangguk-angguk.

“ Bayangkan kita ada laptop, dan sedang kita menaip-naip atau pun bermain Dota, tiba-tiba kita sedar yang bateri laptop kita dah tersangat low. Siap bunyi ‘tit- tot’ lagi menandakan dia dah nak padam. Jadi perkara pertama apa yang kamu akan buat agaknya?”

Hoho. Asyrafee dah dapat tangkap apa yang hendak diberikan oleh ikhwah chubby itu.

“ Owh mestilah saya akan ‘re-charge’-nya dahulu sebelum dia sempat padam. Cari tempat pluk untuk cucuk ‘charger’.” Asyrafee menjawab.

Ikhwah chubby senyum, kemudian menyambung.

“ Tapi bagaimana pula kalau kamu tak ada ‘charger’, lupa nak bawa? Kat depan cuma ada laptop di sebelah kanan, manakala sebelah kiri ada pluk sahaja. ‘Charger’ tak ada. Hah guane kamu nak buat? ” Kedua tangannya terangkat ke atas, tanda sesuatu yang hilang.

Bola mata Asyrafee pandang ke atas, mencari akal untuk menjawap.

“Ahah! Macam itulah juga perumpamaan usrah wahai akhi.” Dia petik jari. Mata bercahaya. Beri jawapan tanpa mengharapkan balasan.

Asyrafee garu kepala. Akhi? Lama tak dengar perkataan tu. Terasa gula.

“Jadinya akhi usrah itu ibarat charger tadi akhi, penyambung kepada laptop daripada pluk yang hendak kita salurkan kepadanya tenaga eletrik. Tenaga eletrik dan pluk itu ibarat ilmu, keimanan, ketaqwaan dan laptop itu pula ibarat kita sebagai manusia yang beriman.”

Mata ikhwah chubby pula bersinar. Terus dia menyambung, tersenyum.

“Dan charger itu pula ibarat wasilah yakni usrah itu sendiri untuk menyambungkan antara keimanan dengan tuan empunya diri yang mengaku beriman itu.”

Asyrafee mengangguk. Tiba-tiba satu persoalan muncul.

“ Tapi kan, kalau saya tak mahu ikut usrah pun tak apa kan. Bukannya tak ada kuliah agama pon. Berlambak kut kat surau taman perumahan saya tu hah.” Hah, cuba jawab. KAU kembali bertamu di jiwa. Mahu menang.

Ikhwah chubby senyum tenang.

“ Haaa… saya bagi satu contoh lagi.” Kening diangkat lagi.

“ Kalau kamu tegur puan mama kamu, senyum pada dia, tapi dia senyap tidak berjawap. Bahkan siap buat muka dono je. Ce cite apa yang agak kamu akan rasa?”

“ Err mestilah saya merajuk. Tak mahu makan nasi masakan dia dah? Tak mahu baca blog Pesona Awan Biru dah. Tak mahu tidur bawah ketiak dah.”

Ikhwah chubby tu memandang dengan pandangan pelik. Mata membulat.

“Cer ulang balik, kurang jelas.”

“Haha. Tak ada apa. Teruskan teruskan.” Muka merah.

“Ok ok, hah macam tu juga kesannya kuliah, ceramah, forum dan sebagainya akhi. Ia hakikatnya berbentuk sehala, tiada dua hala. No two-ways communication orang puteh kata la. Ia kurang mampu membangunkan diri secara efektif. Itulah sebabnya, usrah hadir dengan ketua usrah memberi pandangan, teguran dan nasihat seterusnya ahli usrah memberi maklum balas, menyatakan masalah, kurang jelas ke, dan di situ kita dah boleh nampak adanya two-ways communication bukan.?”

“Juga akhi selain kita semua dapat berkumpul untuk berchenta berkaseh sayang, berkongsi pengetahuan, bertukar-tukar idea dan pandangan, bantu-membantu, dan saling menyokong bahu antara satu sama lain di bawah bimbingan seorang ketua yang mengambil berat…”

“Eh kejap! Banyak juga kelebihan bulatan keriangan ni” Telapak tangan menghentikan bicara diangkat oleh Asyrafee. Ikhwah chubby angkat kening dua kali lagi. Eheh!

“Ok sambung, malah gempaknya juga ketua usrah akan memahami seterusnya berusaha sehabis baik dalam mendorong ahlinya untuk melakukan kebaikan dan amal demi meraih redha Allah dan kenikmatan surge-Nya. Hoho nampak bukan kehebatannya?”

“Ermm.” Asyrafee mengangguk-angguk.

“Macam dalam kuliah pulak akhi, agak-agak pensyarah kita dapat tak memberi tumpuan yang penuh kepada semua anak muridnya? Hah! Sudah tentu tidak kan. Bahkan suara untuk kita memberi pandangan, ketidak fahaman, persoalan akan menjadi lebih kecil ruang likupnya kerana ramainya murid dalam kelas terbabit.”

“Oh! Jadi itu sebabnya dalam setiap ahli bulatan keriangan tu telah dispesifik-kan hanya untuk beberapa orang je kan?” Asyrafee menyoal terus dengan memberi jawapan.

“ Yap! Tujuannya supaya kita mampu memberi tumpuan yang khusus dan mantap kepada setiap daripada ahli bulatan keriangan  tadi. Haaa jadi nampak kan?”

Kening diangkat lagi dua kali. Hoho Asyrafee agak itu mesti gaya ikhwah tu.

KAU kembali menjengah minda. Timbul lagi soalan. Terasa semacam tidak puas hati pulak. Tidak mahu mengalah.

“ Tapi akhi, nampak orang-orang dalam bulatan keriangan ini nampak semacam je tau. Semacam ketandusan kaseh sayang. Bercipiki-cipika. Makan dalam talam. Mandi sama-sama. Semuanya buat sama-sama sesama jantina mereka. Eww geli pun ada saya nengok-nya.”

“ Err akhi, tak-kan nak buat dengan orang perempuan pulak?”

Tangan kanan ikhwah chubby tu dah ada kat dahi Asyarfee.

“Demam eh!” Tanya ikhwah itu.

“Hai, perli nampak.”

Kemudian mereka berdua tertawa. Nampak gigi.

“ Usrah ini akhi, dengan berkonsepkan ijlis bina nu’min sa’ah (duduklah bersama kami, kita beriman sejenak) dia juga berperanan sebagai sistem sokongan tau, yakni support system malah tempat yang kondusif dalam membina suasana atau biah yang soleh solehah.”

Tangan Asyrafee mendagu. Menembamkan pipi.

“Tambahan pula akhi, bukan kah fitrah manusia itu sukakan kaseh sayang dan tempat bergantung, makanya usrah hadir dalam mengisi kekosongan kaseh sayang tadi. Ini dapat dicapai akhi, dengan kita saling ‘top-up each other’, sentiasa berjumpa dan saling beri-memberi, berkongsi rasa dan jiwa, seterusnya ini akan melahirkan kita sebagai muslim yang sumpah akhi!...

Tiba-tiba tangan dia pada dada Asyrafee. Err kenapakah? Angkat kening, pelik.

Free stress-muslim dan berjiwa tenang.”

"Telah bersabda Ar-Rasul:
“Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya”

-Hadith riwayat Muslim.-

Ikhwah itu senyum. Mata bersinar. Angkat kening tiga kali pulak.

Asyrafee mengangkat cermin mata sedikit, gosok mata.

“Eh! Kenapa ni akhi?”

“Tak, silau sangat mata akhi.”

Ikhwah itu tertawa kecil. Menumbuk sedikit bahu Asyrafee.

“Patutlah aku nengok budak-budak usrah ni muka mereka tenang je, muka tak dok masalah” Ujar Asyrafee perlahan. Pandang tepi.

“Err apa dia akhi, saya kurang jelas.” Mata ikhwah chubby terkebil-kebil.

“Eh! tak de apa.” Sapu kepala belakang. Tersenyum kerang.

“Hah! Akhi ada satu lagi saya lupa nak sebut”. Tepuk ikhwah chubby tiba-tiba pada peha Asyrafee.

Erm. Kening terangkat.

“Apa dia?”

“ITMC kita bukan sekadar bulatan yang mengikat hati dan jiwa kita, bahkan ia adalah bulatan keriangan yang menghidupkan, memberikan sebuah pendefinisian yang kedap dalam perhubungan, seterusnya yang memberikan cahaya pada jiwa dan hati yang ketandusan dan kegersangan.”

“Bahkan ia adalah bulatan chenta yang sarat dengan kenikmatan dan ketenangan. Bulatan surga yang menyiram keimanan. Di sini, di hati kita.”


Ikhwah chubby  tersenyum manis. Sedang menunjuk tepat pada dada dia.

Mata Asyrafee bersinar-sinar. Terkesan dengan bicara penuh gula ikhwah tersebut.
Tidak pernah dia dengar ‘pembasuhan’ penerangan seperti tadi. Fuh! Seolah KAU yang mahu diwujudkannya dahulu, adalah suatu manifestasi kegilaan yang sungguh tidak beerti.

“Err akhi, ITMC tu apa? Makanan segere ea?”

Asyrafee menyapu bawah mata. Hangat. Memandang semula ikhwah tersebut.

“Bulatan keriangan kitalah, usrah kita. I means usrah yang baru untuk kamu. 
Ikhwah Tarbiyah Medikal Chenta (Tekan).”

“Err…owh ok, inilah rupanya konspirasi tarbiyah!”

Ikhwah chubby tersenyum.

Nampak sebaris gigi. Mata bercahaya.

'Hoho'


-PAB-

Digarap daripada pengalaman seorang akhi, hadek bulatan keriangan terchenta dalam pengenalannya kepada D&T ini, seterusnya disadurkan pula dengan perbualan bantal saya dengan dia dalam sesi curahat. Dia tanya saya:

“Err akhi boleh tak, nak jadi baik tapi tak perlu ikut usrah? Bulatan gumbira?”

Hoho maka saya jawab dengan lebih kurang jawapannya seperti di atas. Tapi masa itu lebih bermakna, lebih terkesan dengan manifestasi senyuman indah pada wajah dia.

Jadinya saya nak ajak anda teruslah komited dengan usrah. Komit-lah dengan program dan wasilah tarbiyah yang lain. Sesungguhnya anda komfem tidak akan rugi. Percayalah!

Marilah kita bersama-sama menaiki gerabak ini, menyertai mereka yang sudah menaikinya sebelum ini, agar hidup dengan keyakinan kita kepada-Nya dan berjaya di pengakhiran yang sebenarnya. Surga-Nya.

Ada apa pada bulatan keriangan?

Ada segala-galanya!

Senyum.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...