School Of Tarbiyyah

Jumaat, 5 Ogos 2011

Erti Ramadhan ini


            Bukanlah mudah apabila kita menempuh jalan yang dipenuhi dengan kebaikan, kerana hakikat kebaikan itu sendiri mempunyai duri yang menghiasi pesona duniawi. Dan apabila duri nafsu dan duniawi itu berjaya dicantasi dan dipaksai, maka lahirlah kemanisan ibadah yang hakiki.

            Kata-kata hikmah itu saya teringat apabila ia diucapkan sendiri tiba-tiba oleh hati. Tidak mengerti sama ada ia lahir daripada pengalaman sendiri atau hasil daripada pemerhatian yang terbatasi. Benar, erti Ramadhan ini sebenarnya sangat sukar bagi mereka yang tidak memahami. Persoalannya, adakah ia sekadar bulan Ramadhan yang dalamnya mempunyai juadah yang masyuk. Atau ia seolah umpama penjara bagi insan yang tidak sabar untuk keluar daripadanya segera bagi menyambut hari 1 Syawal yang penuh bermakna.

            Pelik dan takjub bagiku melihat individu yang mana usai sahurnya pertama Ramadhan dimulai dengan dendangan lagu raya. Bahkan bertambah pelik lagi apabila seolah solat Tarawikh itu seakan menjadi solat yang terlalu biasa dan tiada keistimewaan tanpa tindakan untuk mengerjakannya. Tidakkah pelik apabila kita melihat adanya manusia yang melihat di tepi jalan adanya ribuan emas tetapi tidak mempedulinya?

            Subuh itu saya segera ke surau berdekatan kerana ingin mendapatkan ganjaran yang berlipat ganda apabila beribadah di bulan Ramadhan. Mengetahui walau bumi Kuala Lumpur ini tidak mempunyai suasana seperti di madrasah di Ma’ahad dahulu, saya tetap gagahi jua untuk mengamalkan ilmu dan nasihat ustaz juga ustazah saya dahulu. Boleh jadi selangkah kaki ini melangkah, maka ribuan dosa durjana akan diampuni Allah yang Maha Mengasihani.

Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: “Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain”.

            Bagi insan yang merindui hari raya, saya nasihatkan bahawa mungkin anda seharusnya memperbaiki semula niat anda. Bukanlah maksud saya bahawa kita tidak boleh merindui Syawal, tetapi sebaiknya atau awlawiyyatnya kita perlu terlebih dahulu merindui Ramadhan yang mulia ini.

           "Sekiranya manusia mengetahui kebajikan yang terkandung dalam Ramadhan itu, tentulah mereka mengharap-harap supaya Ramadhan berlaku sepanjang tahun."

(Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya)

            Bahkan hadis ini cukup jelas memberitahu bahawa kita sebagai pemuda dan pemudi Islam seterusnya para Da’i abad ini, seharusnya merindui untuk berjumpa dengan bulan Ramadhan. Mengisinya dengan amalan-amalan kebaikan dan kebajikan.

            Bukanlah ganjaran pahala itu ditujukan kepada Allah yang Maha Kaya, tetapi hakikatnya kebaikan dan ganjaran itu akan terpulang semula kepada kita semula. Tetapi mengapa kita masih lagi tidak berusaha kearah itu, bahkan bermalas-malasan seolah olah kita telah dijanjikan Allah untuk ke syurga?

            Buatlah kebaikan dan kebajikan sehingga kita letih melakukannya, dan apabila kita melakukan kejahilan walau sebesar zarah, hati kita akan terpalit kesedihan di atas sebuah penyesalan.

            Pagi itu sewaktu di kelas belum bermula, kedengaran alunan zikir daripada sahabat saya yang duduk di sebelah. Wajahnya bersih seperti disirami siraman iman dan takwa. Hati cemburu akan kebaikannya dan diri ini seolah disengat untuk menjadi yang lebih baik daripada beliau.

            “Boleh saya bertanya, apakah faktor yang mendorong kepada saudara untuk sentiasa aktif di bulan Ramadhan ini dengan solat Tarawihnya bahkan dikesempatan ini juga awak mampu mengalunkan zikir?”

            Kelakar juga ayat yang saya gunakan untuk bertanya. Terlalu puitis. Tetapi itulah tandanya kebaikan yang boleh kita berikan kepada orang lain dengan bahasa yang molek dan indah. Bukankah perkataan indah itu menandakan hati yang indah juga?


            “Sebenarnya, sebelum saya menjawab soalan saudara, apa pengertian Ramadhan itu sendiri kepada saudara?” Soalan yang saya berikan dilempar semula kepada saya. Terdiam. Hakikatnya hati ingin bersuara, tetapi dijawab semula oleh dia.

            “ Ramadhan itulah sebenarnya pengubat jiwa, pengganda amal, bulan kerinduan hamba kepada pencipta-Nya. Penghulu segala bulan yang amat dirindui oleh seluruh makhluk yang mencintai-Nya, bahkan jiwa yang tenang akan berkocak sekiranya Ramadhan ini tidak ditambah amalannya. Imannya pula akan sedih sekiranya amalannya sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain.”

            Itulah antara bualan saya dengan dia pada petang hari tersebut. Seronok berkawan dengan beliau. Apabila kami bersama-sama ke surau berdekatan hostel kami untuk menunaikan solat tarawikh bersama-sama, selalunya dialah akan memberi kata-kata hikmah sehinggakan apabila memandang wajah beliau terus teringat akan pesanan Allah S.W.T iaitu:

Maksudnya: Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.

            Alangkah malangnya sekiranya di dunia kita bersahabat baik tetapi apabila di akhirat kelak kita akan tergolong ke dalam golongan ini iaitu saling memusuhi di akhirat nanti kerana saling tidak menguatkan jiwa dan iman dalam menuju keredhaan Allah S.W.T. Inilah sahabat remaja Islam era dinamik yang kita nanti-nantikan. Anda pula bagaimana?

            Terus-terusan Ramadhan ini seperti tiada manis dan indahnya apabila tiada dihiasi dengan amal ibadah yang bersungguh-sungguh. Menjadikan hiburan seperti lagu hari raya (tiada salah tetapi jangan menjadi keutamaan atau prioriti) sebagai pemanis tiruan sehingga berjaya menjadi acuan yang secara fizikalnya menarik, tetapi hakikatnya keenakan itu tidak dapat hadir kerana menumpukan sesuatu yang tidak bermanfaat.

            Malam itu selepas pulang berjalan kaki daripada tarawikh, sahabat saya ini Berjaya mengetuk pintu nafsu saya untuk berfikir.

            “ Alhamdulillah, sesaknya remaja dan dewasa di surau tadi sungguh membanggakan bahkan menenggelamkan para golongan tua yang kebiasaannya masa mereka banyak dihabiskan di surau atau masjid. Tetapi ada satu persoalan yang dapat kita simpulkan daripada tarawikh tadi, cuba saudara teka?”

            Meniru cara Baginda bertanyakan semula kepada Malaikat Jibril, saya berkata “Yang bertanya itu lebih mengetahui daripada yang bertanya”. Senyuman terlihat di bibir kecilnya.
            “Selesai sahaja habis solat Tarawikh sebanyak lapan rakaat, kita telahpun mendapati bahawa ramainya pemuda Islam kita telah syahid, bahkan ramai sekali daripada mereka yang lari daripada medan perang. Awak perasan ke?”

            Kami berdua memasuki gerbang hostel, lalu dia menyambung.

            “Maka yang tinggal tetap masih lagi golongan yang tua dalam meneruskan perjuangan mereka sehingga ke rakaat dua puluh ditambah dengan witir sebagai penyejuk iman. Perjuangan mereka kadangkala diakhiri dengan moreh sebagai kejayaan dalam peperangan nafsu untuk menyerah diri di tengah-tengah peperangan tadi.”

            Ironinya, saya benar-benar memahami maksud tersirat disebalik kata-kata sahabat saya itu. Itulah yang dikatakan erti Ramadhan itu hakikatnya sangat rapat dengan kekuatan remaja itu sendiri untuk menghayatinya. Malangnya, kita sebagai remaja Islam seterusnya murabbi terus tenggelam dalam lautan hiburan dan masinnya pesona duniawi dalam memfokuskan tumpuan kita terhadap erti Ramadhan.


            Bangunlah wahai Remaja Islam Murabbi, tegakkan saf anda sehingga berjaya menghayati Ramadhan ini, TAKBIR!!


Maka, permulaan kepada kebaikan benar-benar memerlukan mujahadah..
           
           

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...