School Of Tarbiyyah

Isnin, 24 Jun 2013

Bukan sekadar 'Hyung' enta

-kredit-

“Assalammualaikum. Issam-san, konichiwa. Farhan El-Razi.”

Lelaki itu menghulurkan salam, dengan mulutnya manis memberikan senyuman. Memperkenalkan diri.

“ Waalaikumussalam. Sayako-san, konichiwa.” Ceh! Bercakap Jepun-lah pula dia.

Hafizul tersengih sambil menjawab salam dan ucapan selamat tengah hari itu dengan muka kosong. Kemudiannya dia berpelukan, berlaga pipi kanan dan kirinya yang cengkung itu dengan lelaki yang memperkenalkan dirinya bernama Farhan tersebut. Cipiki-cipika-lah katakan.

Dia tidak tahu kenapa, tiba-tiba dia terasa rimas.

“ Anta ini sihatkah?” Tanya Hafizul. Kening kanan diangkat.

“ Lorh! Kenapa?”

“ Yelah. Siap kenalkan nama penuh anta lagi. Macamlah kita berdua tidak kenal satu sama lain.”

Lelaki yang bercermin mata berbingkai hitam tebal itu tertawa kecil sambil memahut bahu Hafizul. Mereka berdua berjalan bersama meninggalkan Lapangan Terbang Shibuya yang tersergam indah itu.

Di luar lapangan gumpalan tipis lembut bagai kapas yang putih dengan hawa sejuk kelihatan terus turun dengan perlahan-lahan lalu melekat di atas jalan-jalan, rumput-rampai dan bumbung eksotika lapangan terbang Shibuya itu sendiri.

Indah dan mempesonakan. Seolah bumi Jepun ini sedang menyelimutkan dirinya dengan mantera berwarna putih.

“ Akhi, anta sudah serupa semacam orang Jepun-lah. Dah-lah kulit putih lagi.”

Farhan menyiku lembut lengan Hafizul. Melihatkan kepada pemakaian Hafizul yang sedang berbungkus dengan baju sejuk berlapis-lapis, memakai sarung tangan tebal dan juga topi semacam kopiah.

“ Banyaklah enta punya Jepun. Ana ‘fire’ nanti baru tahu.” Hafizul tersengih.

Ketawa Farhan pecah, dengan ayat ‘fire’ Hafizul yang masih sama seperti dulu. Hafizul memandang kearah teksi yang sedang menunggu di bahu jalan. Dia terasa pelik dengan kehadiran Farhan, menyebabkan dia tidak tahu kenapa, tiba-tiba terasa rimas dengan kehadiran sahabatnya dari Malaysia itu.

“ Kejap-kejap, anta sihatkah ni?” Tiba-tiba Hafizul memberhentikan langkah dia. Menahan Farhan dengan lengan kanannya.

“ Lorh! Soalan ini lagi?” Farhan masih tersenyum. Mengangkat kening.

“ Takdelah, ana pelik.”

“ Pelik? Pelik kenapa?”

“ Yelah. Takde angin takde ribut, tiba-tiba anta datang Jepun.”

“ Salah ke?”

Farhan terus mengorak langkah kearah teksi. Sengaja dia menghembus nafasnya ke atas, sambil keluar dari mulutnya asap putih yang nipis. Hafizul mengikut.

“ Bukan begitu.”

“ Habis tu? Three.”

Hafizul mencemik, pandang atas. Sudah masak dengan gurauan Farhan.

Farhan ketawa. Menampakkan lesung pipitnya.

“ Ok, ana gurau je.”

“ Habis itu, kenapa?”

 “Ana datang mahu kongsi dengan anta sesuatu. ”

Kening Hafizul terangkat. Sambil membantu Farhan memasukkan beg besar prada-nya ke dalam bonet kereta. Dia memandang Farhan. Mata mengecil.

“ Apa dia?”

“ Rahsia.” Kenyit mata kanan.

“ Ceh!”

Farhan tertawa. 

Damai.

…………………………………….


Hafizul mengenali Farhan semenjak sekolah menengah, tepatnya seawal tingkatan empat. Itupun daripada jauh. Tidak pernah bersembang bantal apatah lagi makan setalam, sekadar berselisih ketika di kaki lima asrama ataupun kelas. Hafizul mengenali Farhan dari jauh sebagai seorang figura yang baik, bersih dan sopan. Farhan juga salah seorang jawatankuasa tertinggi pengawas sekolah, dan sangat dikenali dengan baik di kalangan guru dan rakan taulan yang lain sebagai seorang pelajar yang sangat berbudi pekerti dan baik akhlaknya. Hafizul juga mengenali bahawa Farhan telah berjaya dengan cemerlangnya dalam pelajarannya, sentiasa mendapat anugerah pelajar contoh dan genius di setiap tahun. Bersama-sama dengan rakan-rakan ‘surga’-nya yang lain.

Sehinggakan pada Hafizul, merasakan bahawa Farhan sumpah mesti seorang yang sombong, suka pandang rendah orang lain, ‘bajet cool’, punyai aura anak orang kaya dan sombong beruang. Maklumlah ‘top student’ fikir dia. Dan pelbagai lagilah gelaran yang tidak sedap dilemparkan oleh Joker dalam diri Hafizul kepada Farhan. Tidak tahu kenapa dia jadi begitu. Bukannya Farhan pernah buat silap pada dia pon.

Malah Farhan juga sangat terkenal di kalangan junior. Mudah ramah, mudah tersenyum, suka membantu, dan sentiasa menjadi tumpuan orang. Bukan sekadar di kalangan pelajar lelaki, tetapi juga di kalangan pelajar perempuan. Kalau baik, siapa tidak suka. Bahkan dengan pakej muka ‘jambu’ dan korea-nya, sudah tentu ramai bidadari dan akhawat yang menyimpan rasa dan suka dalam hati pada Farhan.

Epiknya, Hafizul adalah sangat bertentangan dengan semua sikap Farhan. Bukanlah bermakna dia seorang pelajar yang jahat, tetapi dia lebih dikenali dengan seorang yang malas, selekeh, pelajar bermasalah dengan pelbagai kesalahan yang melanggar disiplin sekolah, ‘burn person’ dan sedikit kurang ajaq (baca: kedah) dengan sebilangan guru dan rakan taulan, bahkan sentiasa mendapat tempat yang tercorot dalam kelas. Ranking dalam tingkatan, lagilah. Punah.

Hafizul tika itu sekadar hebat dan menempah nama dalam permainan bola lisut sehingga mewakili sekolah peringkat daerah. Maklumlah sifatnya yang ‘burn person’ itu, menyebabkan lawannya pun kecut dengan dia. Tetapi dia akur dengan tindakan pihak sekolah yang menghentikan beliau daripada terlibat dengan aktiviti sukan, arakian kerana prestasinya dalam akademik yang sangat menyedihkan.

Kepala hentak dinding.

Pada Hafizul, dia merasakan dia adalah seorang lelaki yang sangat bernasib buruk. Bad luck. Dipandang rendah, tidak pandai dalam segala hal. Tetapi itu semua dia sekadar memendamnya ketat dalam jiwa dan perasaannya. Dia tidak punyai siapa-siapa untuk diceritakan. Adalah juga sebahagian rakan yang bertanya, tetapi sekadar setakat itu sahaja.

Tiada bantuan yang seterusnya. 

Senyap.

Tapi apa yang menariknya, Hafizul betul-betul mengenali Farhan dengan lebih dekat hanya apabila mereka berdua telah ditetapkan untuk berada dalam satu bulatan gumbira yang sama semasa di tingkatan lima. Dia faham sangat dengan bulatan gumbira dengan aktiviti yang berbaur kealiman tersebut. Tapi dia tiada pilihan lain, melainkan harus komited andai dia mahu ‘lulus’ di bahagian keperibadian murid-murid yang bakal tertera di sijil berhenti sekolahnya nanti.

Kadang dia tersengih, tersenyum kerang. Geleng kepala. Dia tidak sangka; budak paling malas dan bermasalah seperti dia ditakdirkan untuk berada di dalam kumpulan yang sama dengan pelajar yang sangat dikenali dengan rajin dan cemerlang, seorang lelaki ‘sekema’ yang bernama Farhan.

Tapi itu su’u-zonnya dahulu pada Farhan, dan sangkaannya dahulu benar-benar meleset sekarang. Tidak sangka.

Pandangannya tentang Farhan dahulu, semuanya adalah retorik semata-mata.

Sekejap sahaja. Setelah berta’aruf dan bertafahum dengan seorang Farhan, seolah Farhan yang dikatakan sekema itu adalah ‘bidadara surga’ eh! yang dikurniakan oleh Allah ke dalam hidup dia. Farhan sebenarnya jauh daripada sangkaan dia. Bukan insan yang sekadar menghulurkan cinta dan kaseh sayang yang cuba memenuhi ruang lompong hati dia, tetapi juga membawa ketenangan dalam kehidupannya, membawa dia lebih dekat kepada Tuhan kepada dunia, menginginkan surga buat dia.

Hafizul amat menyayangi Farhan.

Kata Farhan, kadang buat dia sebak. Terharu. Penuh gula.

“ Ana nak masuk surga sama-sama dengan anta. Pegang tangan anta. Anta sudi?”

Itu kata yang selalu Farhan ulang. Tidak kira dalam penghujung mesej, mahupun di setiap hujung pertemuan bulatan gumbiranya dahulu.

Farhan juga unik bahkan lain daripada lain, lain daripada rakan-rakan yang pernah dikenalinya. Bukan sekadar sahabat yang mengambil berat, bertanyakan andai ada punyai masalah atau tidak, tetapi Farhan turut serta, bersama-sama dalam membantu menyelesaikan setiap permasalah dia. Tidak sekadar bertanya, tetapi melakukan tindakan ke atas pertanyaan tersebut.

Tidak kisahlah sama ada berjaya atau tidak ‘tindakan’ itu, Hafizul tetap menyenanginya.

Farhan.

Bukan sekadar ‘hyung’ mahupun seorang akhi yang biasa.

Tapi seorang sahabat pembawa surga buat dia.

Tapi itu dahulu, kini lautan dan darat memisahkan mereka berdua selama 5 tahun. Farhan di Malaysia, dan dia terbang ke bumi Jepun ini. Menjadi seorang hyung di bumi sonata.

Dan dia pula semakin futur, larut dan jatuh. Rasa down. Dek penangan dunia.

Paling utama, dek penangan apabila dia menjadi suspek utama dalam kes buli yang menyebabkan mangsa bulinya seorang hadek junior hampir koma akibat dipukul. Dan video yang dirakam ketika itu, hampir menjadi tatapan dan bualan yang telah disebar melalui tiub anda.

Maka-nya jauh di sudut hati dia mengharapkan hadirnya seseorang untuk membantu. Menyelamatkan dia. Superhero dia.

Dan Allah perkenankan hajat hatinya kini.


…………………………………………….


“ Anta ada masalah, boleh share.”

Farhan mencelah. Renungan Hafizul ke luar jendela terganggu, kemudian menoleh dan kelihatan Farhan datang membawa bersama dua cawan berlogo kelab bola sepak terkenal di Malaysia, D&T FC Club. Hafizul tidak tahu dari mana datangnya cawan itu. Biarlah, dia tidak kisah.

“ Anta ada masalahkah, apa-apa boleh share.”

Farhan  meletakkan dua buah cawan itu di atas meja bulat di tengah-tengah ruang tamu. Hafizul mengangkat kening. Kenapa tiba-tiba ada masalahkah muka aku ni?

Farhan tersengih.

Sharing is caring.”

Hafizul mendekatkan diri ke meja kemudian menarik selimut tebalnya bagi menghangatkan lagi badan kurusnya. Selepas itu tangkai cawan berisi coklat susu di capainya. Di hirup dengan sedap. Hangat.

Hafizul memandang Farhan. Angkat kening. Senyap.

“ Err kenapa pandang macam hendak makan orang sahaja? Sudah bertransformasi jadi Godzilla Gorgon-kah?” Farhan bercanda.

“ Ceh! Fire nanti baru tahu?”

“ Semenjak bila pula anta jadi otromen ni?” Farhan tertawa kecil. Menolak perlahan bahu Hafizul.

Hafizul mendengus. Sekadar tersenyum kelat.

“ Bagaimana perkembangan anta di bumi Jepun ini? Dah maju dan semakin baik?” Farhan bertanya sambil mencicip sedikit air coklat panas dari cawannya. Hangat.

“ Perkembangan? Maju? Maksud anta?”

“ Maksud ana, bagaimana dengan pelajaran anta di sini, kehidupan anta ada baikkah dan segalanya berjalan dengan lancar kah?”

“  Anta rasa?” Hafizul membalas endah tak endah.

“ Ana rasa enta dah tak ‘koma’ lagi kot? Anta masih berbulatan gumbira lagi kan di sini, komfem mesti lagi masyuk. Is that right?”

Hafizul senyap. Memandang Farhan sekilas kemudian mendengus. Mengembalikan semula pandangan dia ke luar jendela, menatap butir-butir salji yang turun.

“ Alah! Soalan itu ana tak payah jawab pon enta dah tahu sangat.”

Farhan tersenyum. Masih mengekalkan ketenangan.

“ Kenapa tak join mereka?”

“ Maksud enta orang-orang ‘malaikat’ tu? Ceh!” Nada Hafizul sedikit kasar.

“ Enta ini trauma lagi kan?” Farhan mengekalkan kelembutan nadanya. Menyapu lembut bahu Hafizul.

Dia memandang Farhan sekilas kemudian mendengus perlahan.

‘ Aku trauma ke?’

Dia menyoal diri sendiri.

Terus kembali melayangkan pandangan ke luar jendela. Seolah salji pun turut seolah merasai kegersangan di dalam jiwa nya yang pedih. Mungkin trauma dengan sesuatu.


Sesuatu yang akhirnya membawa dia terbang membawa diri ke sini.

Bersambung....to be continued..

-PAB-

Bagaimana sejauh ini..? 

Sengaja di lewatkan untuk suspen yang tidak suspen pon, eheh.

Jangan segan dan malu beri maklum balas ya..? 

Senyum sapu rambut tepi.

Bukan sekadara 'Hyung' enta. Hakcipta terpelihara (C) 2013.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...