School Of Tarbiyyah

Isnin, 9 April 2012

Antara Bulatan Gumbira, Pesona Bunga & Awan Biru

CERITERA  1
Pesona Bunga & Awan Biru

-kredit-

           Petang itu, usai kuliah dia pulang  ke hostel menaiki bas biru kolej. Sakinah jelas terpancar di bulatan wajah. Pesona wanita muslimah menghiasi diri. Bak bunga mawar berduri, itulah gelaran idaman akhawat muslimah zaman ini. Tapi di balik dunia asing di sini, kata nama ‘ustazah’ menjadi siulan dan kekaguman pelajar lain buat dirinya. Ah, perjalanan ceritera yang menarik. Harap begitulah!

            Kata dan petak soalan selalu hadir. Segenap ruang dalam bas kolej itu dinaungi rasa sedikit janggal lagi hairan. Rakan-rakan sepengajian, pensyarah, staf-staf sehinggakan pengawal keselamatan sentiasa dinaungi rasa kelainan.  Soalan kenapa dan mengapa itu selalu dihadapkan kepada dia, seolah dianggap manifestasi seorang alien daripada planet yang terasing selepas Pluto. Agaknya planet ape?

“ Kenapa masuk sini? Kenapa tidak memilih IPTA atau IPTS Islamik?”

“ Mengapa pilih Farmasi? Bukan ke sepatutnya pilih Usuluddin ke atau Syariah ke?”

“ Belajar agama dengan sains dan perubatan ni bukan lain ke? Budak agama belajar pengajian Islam, budak sains belajar perubatan, undang-undang dan pendidikan, kan lebih ‘boom’ dan sesuai?”

Tiga soalan biasa. Kadang-kala menjadi luar biasa apabila melodi tekanan darah dan nadi menjadi tinggi. Manifestasinya pesona wajah menjadi sedikit merah dek malu yang teramat sangat. Dihormati ramai, tetapi turut juga menjadi mangsa kepelikkan orang ramai. Dia mengerti. Itu Guraba. Asing.

Dalam sistem gastro bas biru, kerusi bas semua dipenuhi. Dia bertudung hijau aple bidang 60 terus masuk lagi semakin dalam menuju ke dalam sistem rektum bas. Sejuk dengan udara hawa dingin. Mendinginkan lagi putih wajah. Meneduhkan mata yang melihat.

Semua mata sedikit terpana. Bak bulan, menerangi ruangan bas, yang memandang dilanda rasa kagum, tentunya lebih-lebih lagi si kumbang hensem, ceh perah santan!. Merasai bangga sekiranya ‘bulan’ itu jatuh ke riba. Si bunga yang lain, kekaguman terhadap dia. Se ‘thabat’ terumbu karang, mengharungi badai keasingan daripada rakan dan taulan.

Dihormati dan dipuji tetapi dipandang pelik, asing dengan perbuatan dan segala-galanya mengenai diri. Itu kebiasaan bagi dia. Pandangan matanya bening ke bawah. Bersedia untuk berdiri sehingga bas menapak ke hostel.

Ukhti! Di sini ada kerusi.”

Terpaku. Terdiam. Mendengar perkataan keramat ‘ukhti’ buat pertama kali diaju pada dia semenjak memasuki institusi pengajian ini. Melodi kardiak memain peranan. Bersedia untuk wajah kembali merona jambu.

Dia memandang kanan. Ada kerusi tiada manusia. Tak  perasan kerna pandangan mata ke lantai bas tadi. Pemanggilnya seorang lelaki. Bermata empat dan memandang ke dasar buku yang dibacanya. Kelihatan kemas dengan pemakaian pelajar jururawat. Awan biru.

Pilihannya pada dia. Duduk atau menunggu 30 minit untuk sampai ke hostel. Boleh jadi sehingga 1 jam kerana ramai manusia berlumba pulang ke rumah masing-masing. Trafik yang sesak. Tetapi, kata hati jangan pernah duduk bersebelahan dengan berlainan jantina. Tetapi dia belajar, di mana bukanlah dikira sebagai suatu yang tidak elok kecuali bersebab. Kebiasaan sahabat jiwanya, Fatimah Al-Maqsuroh  menemani dengan duduk bersebelahan. Mereka ibarat lirik dan melodi, tetapi perbezaan jadual kelas menjadi pemisah waktu mereka hari itu.

Keputusannya adalah duduk di situ. Bergetar rasa di hati. Maklumlah, kebiasaan yang tiada pernah rasa. Sebelah kanannya seorang perempuan, tetapi kedudukan kerusinya jauh sedikit berbanding lelaki sebelahnya yang dekat dikirinya. Beg sandang coklat lantas diletak tengah, penebas syaitan yang membisikkan. Pengawal. Guard line yang selamat.

Perjalanan ke hostel, radio memainkan peranan. Memutarkan lagu-lagu rentak terkini. Membuai perasaan. Pelbagai 1OO1 manifestasi keadaan pelajar. Menutup mata. Memandang pemandangan luar. Tidak kurang yang bergelak tawa. Kurang sedikit daripada anak ponti.

Ya. Teringat panggilan ‘ukhti’ tadi. Lelaki sebelah memanggilnya tadi. Tak berani memandang arah barat, takut sekiranya bertentang mata. Segan tambah malu tanpa tolak gementar. Sekadar bola mata hitam cuba berjalan ke tepian putih mata, mencuri pandang buku bacaan awan biru itu. 

            Tertera perkataan berdakwatkan hitam ‘bold’ sebagai tajuk bab. Jelas lima perkataan. Tulisan itu memainkan peranan yang amat besar kepada dia suatu ketika dahulu. Menjadi wacana untuk mengukuhkan akidah dan mendalami dengan sebenar konteks nur Islam. Perkataan itu, mengingatkan dia kepada siapa dirinya jika bukan melalui medium itu.


-tanpa kredit, eh!-
Terawang sebentar kenangan bersama sahabat seperjuangan ketika di sekolah dahulu. Prinsip friends until Jannah’ dan ‘Best Friends Fillah a.k.a BFF sentiasa di qalbi. Sakinah berganda ketenangan seolah berada di langit biru sekolah. Murobbi yang caring dan jujur serta ikhlas mencurah mahabbah. Bahkan mengenal Cinta Allah SWT dan Rasul kekasih-Nya.

Tak lupa sehingga berjaya menghayati makna hidup melalui medium itu. Tika saat, jiwanya manis semanis kurma merekah dalam lindungan kasih Illahi.

Bola mata menjeling lagi. Ruang masa terus menerawang terbang ke luar bas, seolah merpati putih menyebarkan rasa kerinduan kepada langit biru. Ingin terbang tinggi lebih tinggi sehingga terlahir kebebasan tetapi tetap ada batas. Tidak mampu menerobos ke galaksi atmosfera. Begitu dia belajar erti hidup.

Islam itu kebebasan tetapi ada keterbatasan. Batas bukan musibah tapi manfaat pada diri. Tanpa sedar lesung pipitnya semakin terserlah. Dilihat, syabab itu konsisten terus membaca. Buku sedikit bergetar, saat bas membelok timur dan barat. Membawa manusia tanpa lelah.

Perkataan itu juga menceritakan seribu satu hikayat mengenai persoalan ‘apa itu Tarbiyyah?’. Heronya Iman dan heroinnya Taqwa menyuburkan rasa kemanisan ukhuwwah dan menyebarkan rasa harum berbunga kasturi antara satu sama lain. Bersedih bersama dan gumbira menjadi melodi rindu yang mendayu dan meruntun hati. Seolah surga hati melewati taman-taman dan bunga jiwa yang dahagakan makna persahabatan yang hakiki dan serasi. Ya, bulatan gumbira itu dirindui. Sangat dirindui.

Ah! Rasa malu menyengat kembali. Manifestasi klinikal Al-Humaira kelihatan di bulatan pipi. Tunduk malu. Saat awan biru menyapa, lembut dan setenang hembusan angin di hati, menanti untuk ditaufan andai keterbatasan dicemari.

            “ Assalammualaik. Ana Muhammad Hamzah. Boleh bertanyakan soalan?” 

Sapaan awan biru bermula. Dahsyat. Straight to the point.  Sopan cuba beradu dengan kegugupan. Melerai makna tafsiran serta tujuan apabila tekanan darah mula berubah.

Terdiam. Membisu tiada reaksi. Mengakar kepercayaan dan prinsip tidak bercakap dengan muhrim tanpa asbab. Tetapi menyusup rasa salah apabila tidak berbalas. Husnu zon diaplikasikan lantas kotak suara yang kecil memainkan melodi. Melodi biasa. Datar.

“Wassalam’alaik”. Kemudian diam tidak berjawab. Sunyi dan bisu. Kedengaran cuma bunyi ngauman bas. Selang-seli dengan bunyian melodi muzik daripada radio bas.

Lama tidak berjawab. Si awan biru kelihatan merenung kembali ke luar jendela bas. Berfikir bahawa pertama kali memberanikan diri menyapa dan bertanyakan soalan kepada si bunga muslimah. Gulp, menelan air liur.  Ya, kerna bertudung labuh itu manifestasi daripada si bunga muslimah. Maka itu dia berani. Niat bertanya kerna keperluan. Bukan kehendak. Sedikit menggigil di hujung kata. Chills kata orang dalam manifestasi klinikal perubatan.

Kemudian dia menoleh ke depan. Tetapi bola mata hitamnya mengerling kearah bunga. 90 darjah sahaja. Tidak mahu berlebih.  Hasil daripada tindak balas jawapan diberi oleh si bunga. Menyapa neuro di mid brain.

“Ya, semoga ana boleh jawab soalan enta.” Disambung terus si bunga.

“Ada dengar persatuan Islam mahu mencarikan seorang muslimah naqibah?”

Si bunga teringat akan warkah iklan di papan buletin hostel. Ya, bulatan gumbira sedang mencari seorang naqibah. Juga seorang naqib tidak silap dia. Ya, teringat dia sangat teruja apabila melihat poster tersebut. Mahu sahaja sujud syukur ketika itu. Mahu sahaja melompat kegirangan. Bak teletubies bersaudara.

“Ya, ana ada dengar berita tersebut. Berminat juga tetapi tidak tahu sama ada layak ataupun tidak?”

Pandangan masih ke depan. Seolah berbicara dengan kerusi depan. Pelik jika dilihat orang lain. Mahunya di buat dalam bas awam, menjadi mangsa ejekan orang agaknya. Pasti dan comfirm.

“Terfikirkah ukhti bahawa jika kita menunggu sehingga yang layak itu hadir, atau yang sempurna itu mendatangi adalah ibarat menanti kembali bersatunya bumi dan langit yang terpisah. Begitulah juga usaha tarbiyyah ni akan jatuh dan gagal sebelum ia mula menapak. Usaha ini tidak memerlukan kesempurnaan, tetapi ia menuntut ada rasa mahunya perubahan. Perubahan kearah yang lebih baik dari masa ke semasa, itulah dinamakan ‘Tarbiyyah’.”

Ya. Kata-kata itu menerbangkan dia sekali lagi kepada bulatan gumbira dia dahulu. Asatizah tersayang sentiasa menjaga, membimbing dan mencintai anak-anak  usrahnya. Tarbiyyah yang dilaluinya tidak statik. Sentiasa bergerak. Mencambahkan bunga kasih dan rindu antara satu sama lain.

            Bahkan menerima kelemahan masing-masing sehingga gumbira kerna ia melengkapi antara satu sama lain. Kata-kata hikmat naqibah selalu tersimpan rapi di peti fikirannya.

“Memang kita tidak boleh menjadi sempurna, tetapi kita boleh mencontohi yang sempurna”

Naqibah selalu mengingatkannya bahawa bulatan gumbira bukanlah untuk mereka yang ‘alim’ dan golongan baik-baik sahaja, tetapi turut mengutamakan mereka yang mahukan perubahan dalam hidup mereka. Mahu jadikan kualiti dan isi dalam kehidupan mereka sentiasa mempunyai erti dan makna. Tidak kosong. Tiada erti dan kualiti.

Ya, kata asatizahnya juga bahawa usaha ini benar-benar tidak memerlukan kita untuk menggerakkannya. Bahkan kitalah sebenarnya yang memerlukan usaha ini. Berkata Tuhan Maha Rahman bahawa Dia boleh sahaja menggantikan kita dengan hamba-Nya yang lebih baik daripada kita untuk menjalankan sunnah terbesar ini. Maka di saat itu, siapakah yang rugi jikalau bukan kita? Tepuk dada tanyalah iman. Bukan perasaan jua nafsu kita.

“Boleh ana tahu adakah enta juga berminat untuk menyertai-nya? Ana dengar mereka juga memerlukan khidmat dan sukarelawan mad’u yang sudi mencurah khidmat dan bakti.”

            Saat itu bas sedang masih lagi lemas dalam kesesakan lautan ribuan kenderaan. Kepulan asap kelabu daripada setiap besi bergerak berkepul-kepul lalu bersatu membentuk suatu karsinogen udara. Atmosfera langit sedikit hitam berbanding atmosfera di dalam bas. Sejuk. Ibarat angin daripada bumi korea menyinggahi sebentar suasana di dalam bas.

            Soalan  itu dibiarkan tidak berjawab oleh si awan biru. Senyap dan bisu. Jelasnya hanya senyuman manis di bibir sahaja terukir, mengganti jawapan kepada si bunga sebentar tadi. Fuh! Sianosis dibuatnya si bunga.

“Bukanlah soalan seperti itu sepatutnya ditanya, tetapi yang sepatutnya ditanya ialah adakah kita diberi pilihan untuk memilihnya sedangkan krisis ummah kini benar-benar memerlukan kita sebagai mad’u, mencatur gerak kerja bagi menggerak kembali ummah yang sedang tenat?”

            Pernafasan normal 20 beat per min, lantas terus awan menyambung.

“ Ya. Kita tidak diberi pilihan melainkan kita yang mesti menggerakkannya dan menjadi pewaris. Tidak sanggup melihat ummah ini semakin hari semakin hancus dimamah jahiliah, sekular dan api kesyirikan kepada Allah SWT, sedangkan kita masih dengan beramal dan beriman untuk sendiri-sendiri sahaja. ”

            Bunga mendengar dengan statik, penuh konsentrasi dan memahaminya bahawa ummah khususnya pemuda pemudi di tempat dia belajar kini, benar-benar memerlukan suatu golongan yang sanggup membahagikan masa dan tenaga mereka yang OSEM tersebut, mengajak kearah kebaikan, menyebarkan ukhuwwah fillah, mensayonarakan jahiliah dan meraih kemanisan iman yang persis ibarat kek coklat dilapisi krim coklat pekat. Allahuakbar, sangat best jika ‘Dakwah’ itu dihayati!


            Bas biru sampai di perkarangan asrama. Pelajar lain berebut- rebut untuk turun persis bayi yang sangat comel lote berusaha untuk mendapatkan umminya. Tanpa mengenal jantina mereka berlanggar antara satu sama lain. Adeh! Sakit mata si biru melihatnya. Bunga pula layu harumannya dek maruah temannya dicemari oleh diri sendiri. Kedengaran bom jangka meletup dengan merah si humaira di pipinya.

            Mereka berdua masih statik. Tetap menunggu sehingga semua selesai turun, menanti sabar, takut terlanggar jantina negatif  lantas rasa renjatan elektrik menanti untuk menyengat. Buzzz!

            “Syukron kathir kerna ingatkan ana. Peringatan yang sangat bermanfaat untuk ana simpan dan kunci dalam peti mesej kefahaman ana. Hemm, enta ada pegang sebarang jawatan ke dalam persatuan Islam tu?”

Keberanian rasa hadir sebelum berangkat  pergi meninggalkan kerusi bas. Rakan-rakan yang melihat pelik, kagum terhadap si awan biru berjaya berkata-kata dengan si bunga. Cemburu. Al-maklumlah, si bunga yang tidak pernah berbicara dengan si manusia bernama kumbang tanpa asbab.

            Sekali lagi jawapan itu dibiar tiada jawapan. Si biru menjawab dengan senyuman yang gula tebunya ditanam di tepian bibirnya yang jambu. Manis ditambah lagi dengan susu pekat yang baru dibeli, bertambah lagi manisnya. Allahuakbar, manis sangat! Persis lelaki korea yang kononnya idaman muslimah akhawat.

Terbit haba sinar matahari kemarahan daripada bunga kerna soalannya tidak dijawab. Muslimah itu mengharapkan soalannya disambut dengan jawapan, begitulah adabnya dalam perbualan. Terus rasa hormat yang terbit tadi menurun sehingga 50 peratus. Picisan geram rasa tidak diendah hadir tanpa rasa mahu. Jelasnya itu bukanlah sifat bunga, tetapi angin rasa itu tetap menjengah. Angin penyibuk tetapi sebabnya?

……………………………………………………………………………………………..

“ Tahniah a.k.a Ganbatte diucapkan kepada semua pelajar yang sudi hadir ke program kami kali ini. NiCE atau dikenali ‘ Night Intelectual Of Co-operate Exploration’ merupakan sebuah program terbaru daripada yang dibawakan khas oleh Persatuan Perubatan Mahasiswa Islam institusi kita, khas hanya untuk anda” Ucap daripada pengerusi majlis. Riang.

Malam itu usai Maghrib, bunga dengan senyuman humaira’nya sertai program yang dibawakan oleh persatuan bulatan gumbira tersebut. Dewan kolej dipenuhi ramai pelajar, tidak sabar mengikuti slot-slot yang telah disediakan. Seakan lautan ukhuwah, ikhwahnya di hadapan manakala akhawatnya dibelakang.

“ Seterusnya dijemput Presiden Persatuan Perubatan Mahasiswa Islam, Saudara Muhammad Hamzah Bin Dzulkarnain untuk memberikan ucapan aluan beliau. Untuk pengetahuan peserta semua, beliau juga adalah pengarah program untuk NiCE kali ini. Sekian, dipersilakan.”


'Ceh, presiden rupanya dia ini!'

Tepukan gemuruh menaungi ruang lingkup dewan kolej tersebut. Bingit dan meriah. Pesona kekaguman terbit di hati setiap mereka yang melihat. Bahkan persepsi si bunga menaik dengan mendadak sehingga 100 peratus mengalahkan prasangka bahawa si pendiam tersebut seorang pen’ sombong’ tegar.

Awan biru menaiki pentas dengan uniform biru lembut jururawatnya. Mantap dan segak. Songkok hitam kemas di atas kepala. Matanya bening menunduk bawah.  Semua mata menatap si biru. Statik.

Tika itu bermain semula filem memori lepas, ketika dalam bas selepas soalannya tidak dijawab si biru. Pertanyaan keramat. Mengejutkan si bunga dengan bom Hiroshima, mencetuskan rasa rawan dan gundah kerna memikirkan soalan terakhir si awan.

“Bagaimana dengan jawapannya, enti sudi menerima dan menjadi naqibah untuk persatuan Islam tersebut?”

Paku buah keras, dia membalas soalan tersebut juga dengan senyuman semanis kurma. Merona sedikit pipi sepadanlah dengan namanya Aisya’ Al-Humaira. Tanda setuju ditambah dengan tangan yang menelungkup dirapatkan ke dada kemudiannya turun daripada bas sebelum hilang di balik renyai-renyai hujan rintik petang itu.


            “Alhamdulillah. Hadir lagi seorang mujahidah dalam arena dakwah yang OSEM ini. Syukur ya Allah. Semoga akan lahirlah kader dakwah dalam arena medik suatu hari nanti Insyaallah amin !”


Berjalan dalam hujan rintik, si awan biru tenang dalam senyum mengingati:

           
            “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin, jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dan membayarnya dengan syurga. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu membunuh atau dibunuh. Itulah janji yang benar yang disebut di dalam kitab Taurat, Injil dan Quran. Sesiapa yang menunaikan janjinya dengan Allah, maka bergembiralah dengan janji yang kamu berikan itu. Yang demikian adalah kemenangan yang besar.”
(At-Taubah: 111)


FirmanNya lagi;

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan gandaan yang banyak.”
(Al-Baqarah:245)


Hati dia sempat berbisik: ‘Alhamdulillah! Aku adalah Dakwah dan Dakwah itu adalah aku. Inilah ceritera hidup aku yang OSEM!’

- kredit -

Nota hati: Ceritera ini adalah sebahagian daripada kisah benar. Ceritera ini juga mempunyai sambungannya pada post saya yang akan datang. Harapan saya, semoga anda berjaya mendapat ibrah daripada kisah ini Insyaallah! Err jangan lupa share, eheh!

Sambungan:
Antara Bulatan Gumbira, Pesona Bunga & Awan Biru ii

2 ulasan:

fatin farhana berkata...

assalamualaikum..salam ukhuwah..=)
menarik penuliusannya..teruskan..^__^
urm....dekat gambar tue yang pakai spec tue.nmanya najwa ker?

Tanpa Nama berkata...

assalamulaikum saya ucapkan kepada ukhuwah semua.
sememangnya saudara mempunyai bakat yang tersendiri dalam penulisan blog ini.
semoga saudara terus memulis didalam log ini. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...