School Of Tarbiyyah

Jumaat, 9 September 2011

Azan yang dirindui pesakit bukan Islam

           Katil di sudut hujung wad itu kosong. Apabila mengenangkan kembali memori yang tersimpan di situ, ia benar-benar memberikan kesedaran dan berjaya mengetuk kesedaran saya sebagai seorang yang beragama Islam. Saya sebagai jururawat pelatih yang kebetulan sedang praktikal pada shift malam tersebut, menjadi terharu bahkan merasa diri ini masih lagi memerlukan tarbiyah agar mampu menjadi pencerah kepada agama saya sendiri. Kesilapan saya subuh itu, gagal memberi penjelasan kerana kekurangan ilmu!

            Hospital swasta ini dan khususnya wad ini menjadi saksi. Kebiasaannya kebanyakan pesakit adalah beragama Islam. Tambahan lagi, jarang kes yang melibatkan orang bukan Islam akan memilih hospital ini sebagai pilihan utama mereka.

            Istimewanya berbanding hospital-hospital swasta yang lain, hospital ini, apabila masuknya waktu solat lima waktu, maka akan berkumandanglah azan bagi mengetuk pintu hati setiap insan Muslim yang bergelar pesakit. Memberikan kesedaran bahawa sakit itu bukanlah penghalang untuk melaksanakan ketaatan solat Fardhu kepada Allah, bahkan sebenarnya merupakan medium untuk mendekatkan lagi diri kepada Sang Pencipta Rabbul Jalil.

            Hari itu, kebetulan tidak ramai pesakit yang ada. Suasana wad sunyi. Saya yang bertugas sebagai Team Leader atau ketua praktikal pada hari itu bercadang untuk menjenguk keadaan semasa keadaan setiap pesakit. Begitulah tugas sebenar setiap jururawat setiap hari, memeriksa keadaan semasa setiap pesakit. Penuh ikhlas dan berusaha untuk mencintai setiap pesakit.

            Sedang saya asyik melewati setiap bilik yang menempatkan pesakit, kedengaran nyanyian daripada seorang pesakit lelaki. Saya lihat jam gantung kecil pada baju saya ketika itu menunjukkan pukul 5 pagi. Saya kenal suara tersebut. Lantas dengan mata yang sememangnya mengantuk, saya tetap gagahi jua menghampiri pesakit tersebut.

“Hello! Selamat malam. Adik tak tidur lagi ke?”

Dia menegur saya dahulu sebelum sempat saya mengucapkan ucapan selamat.

“Belum lagi, uncle Ganesan. Bagaimana dengan hari ini, uncle sihat ke? Kelihatannya macam ceria sahaja malam ini.” Balas saya.

“Seperti biasalah adik. Saya yang sakit ini, mestilah kena kuat semangat dan kuat hati. Kalau tidak, bagaimana saya mahu sembuh. Betul kan?”
Selepas menjawab, dia kembali semula menyanyi.

“Uncle, boleh saya tanyakan sesuatu? Uncle nyanyikan lagu apa sekarang ni? Seronok saya mendengarnya.”

Beliau walaupun kelihatan daripada air mukanya tampak garang, tetapi hati dan sifatnya benar-benar menunjukkan seorang lelaki yang penuh dengan sifat kelembutan. Seronok saya dapat mengenalinya. Nyanyian beliau yang dalam bahasa beliau sendiri ditambah dengan melodi yang menarik menyebabkan saya tertarik untuk bertanya.

            “Ini lagu kisah cinta kepada manusia. Maklumlah cinta itu kan indah”. Jawab beliau. Kemudiannya beliau cuba untuk duduk demi meraikan saya. 

            Uncle Ganesan merupakan seorang pekerja kantin di sebuah sekolah. Beliau telah dimasukkan ke sini setelah terlibat dalam kes langgar lari selang beberapa bulan yang lepas, ketika dalam perjalanan pulang daripada tempat kerja. Kini, kesihatan beliau semakin bertambah baik daripada sebelumnya. Cuma bahagian kaki kanan beliau sahaja yang kurang baiknya.
           
            “Adik seorang yang beragama Islam, bukan?”

            Tiba-tiba keluar soalan tersebut daripada bibir beliau. Saya sedia maklum, mungkin wajah saya yang kelihatan sedikit campuran mendorong beliau bertanyakan soalan sebegitu.

            “Ya uncle. Agama saya ialah Islam dan saya ialah seorang Muslim. Mengapa ya uncle ada soalan hendak bertanyakan ke?” Soal saya kembali seterusnya mengimbau kembali bahawa beliau sebelum ini pernah juga bertanyakan kepada saya mengenai serba sedikit hukum dalam syariat Islam. Beliau berminat dengan Islam kelihatannya.

            “Mengapa dalam Islam saya lihat, adanya azan? Saya di wad ini seringkali bahkan setiap hari mendengar itu suara dalam Bahasa Arab seperti memanggil? Betulkan kata saya?”

            Terkejut sedikit saya apabila beliau bertanyakan soalan sebegitu. Menunjukkan pekerjaan beliau dahulu sebagai pekerja kantin bukanlah penghalang beliau untuk mengkaji dan mengambil tahu agama lain. Di meja kardiak beliau, penuh dengan buku dan bahan bacaan berbentuk ilmiah. Tidak terkecuali bahan bacaan yang berbentuk ilmiah dalam Islam.

            Maka dengan ilmu yang saya sedia ada, lantas cuba menjawab soalan beliau.
Azan merupakan lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam untuk menyatakan masuknya waktu sembahyang fardhu dan untuk menyeru orang-orang Islam supaya berkumpul mengerjakannya. Bahkan boleh dikatakan mempunyai nilai-nilai murni yang mengajak masyarakat Muslim supaya bersatu dan terus mara ke hadapan demi agama tercinta.”

            “Ianya seruan dalam Bahasa Arab dan boleh adik terangkan kepada saya serba sedikit mengenai maknanya?” Soal kembali Encik Ganesan. Saya cuba lagi menjawab mengikut kefahaman saya berdasarkan apa yang pernah saya belajar suatu ketika dahulu di Ma’ahad. Mencabar sebenarnya soalan ini. Tapi benar kata guru saya, pendakwah tidak kemas dakwahnya sekiranya mereka tidak faham dan tidak ‘kemas’ apa yang telah mereka dakwahkan.

            “Sekiranya dapat dihayati, ia mengandungi seruan mengagungkan Allah iaitu Tuhan seluruh Alam. Mengakui bahawa Nabi Muhammad itu pula seorang lelaki yang telah diutuskan oleh Allah untuk ummah ini.” Jawab saya sambil mengambil kerusi dan terus duduk berdekatan beliau.

            “Oh! Saya tahu itu Allah dan Nabi Muhammad. Ada saya dengar dalam itu punya azan.”

            “Kemudian terkandungnya seruan mengajak untuk menunaikan solat dan menuju kejayaan. Perlu saya beritahu bahawa dengan solat itulah yang akan memberikan kejayaan, tetapi dengan kejayaan yang diberkati dan diredhai Allah S.W.T.”

            “Kiranya maksud adik sekiranya penganut Islam itu mempunyai kejayaan, tetapi tidak menunaikan solat, maka kejayaan itu tidak diberkati dan diredhai Allah, begitu ke?”

            “Ya, itulah maksud saya.” Saya mengiyakannya.

            “Uncle ada seorang kawan, beragama sama dengan uncle dan kami bekerja di tempat yang sama. Rumahnya sangat berdekatan dengan sebuah surau. Kata dia, apabila tiba sahaja azan subuh daripada itu surau, dia terus bangun untuk bersiap ke tempat kerja. Anehnya, jam loceng dia langsung tidak berkesan kepada dia. Kami yang bukan Islam pun dapat manfaat daripada itu azan. Itu azan banyak sedaplah dia punya bunyi, sampai terbangun daripada tidur nyenyak kami”

            Saya sedikit tersenyum dan tertawa seadanya. Benarlah kata-kata yang mengiyakan bahawa Bahasa Arab itu bahasa Al-Quran dan bahasa Syurga. Manakan tidak, ia bahasa yang digunakan oleh penduduk syurga, tentu sahaja indah ditambah pula dengan alunan yang berkumandang.


Jam menghampiri waktu untuk berkumandangnya azan pada subuh itu. Saya cuba untuk meminta izin mengundur diri daripada uncle Ganesan, tetapi tiba-tiba saya dihalang dengan satu soalan yang telah berjaya mengetuk pintu hati saya.

            “Tapikan saya peliklah adik, mengapa pesakit di sebelah katil saya ini, dia Melayu dan Islam tetapi apabila itu azan bunyi, dia langsung tidak pergi solat. Solat di wad pun saya itu tidak nampak. Rasanya ramai saya tengok di wad ini, tidak mengindahkan itu azan, apa pasal ya. Mereka semua kebanyakannya lebih sihat daripada saya. Saya banyak peliklah adik.”

Kemudahan debu Tayammum juga disediakan,
apa lagi alasan anda?
Saya agak terpaku dengan soalan tersebut. Mulut terkunci bahkan lidah terkelu untuk menjawab. Persoalan uncle itu saya tinggalkan dengan senyuman kerna kebetulan telah bunyinya azan Subuh waktu itu. Tepat pukul 5. 45 pagi.

            “Tidak mengapalah. Adik pergilah solat dahulu. Uncle faham. Nanti jika ada masa, adik mari ke katil ini lagi dan kita berdua akan bersembang lagi. Terima kasih ya adik sebab teman uncle.”

            Sejujurnya, saya malu kepada diri sendiri. Saya terus bergegas ke surau hospital yang bertempat di tingkat satu. Dalam perjalanan, saya cuba bermuhasabah diri. Sedihnya kerna diri tidak mampu mengajak pesakit untuk bangun menunaikan solat.



            Kadang-kala waktu azan solat yang lain, setelah bertanya adakah mahu bersolat dan perlukan bantuan untuk menunaikan solat, kebanyakan pesakit terus mendiamkan diri. Ada juga yang sampai menengking kerana dikatakan saya menyibuk di tepi kain orang lain.

Saya sedih tidak mampu menjawab soalan Uncle Ganesan tersebut. Sedih kerna gagal memberi penjelasan kerana kekurangan ilmu! Ilmu yang patut ada kepada diri untuk menjadi jururawat sekaligus da’i yang Berjaya memberi penerangan.


            Akhirnya Subuh pada hari itu, memberi ketenangan dan keinsafan kepada hati ini sejurus kedengaran imam memberi salam di tahiyat akhir solat.


p/s: " Kekuatan ilmu itu diperlukan walau sedikit demi pencerahan ilmu kepada orang lain, bak kata hikmah 'Sampaikan ilmu kepada orang lain walaupun satu ayat". Semoga Anda menjadi Sang Pencerah walau apa jua bidang yang diceburi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...