-kredit- |
Petang ini dalam metro suasana seperti
hari kebiasaannya, udara panas membahang. Kota Zaqaziq ini sememangnya menjadi
nuansa untuk manusia menjadi sedikit rimas dan ketidak selesaan di tahap
maksimum. Berkurun lamanya sang matahari Mesir ini tidak pernah jemu membakar
dirinya, memberi sinar buat semua makhluk bumi yang dikasihi Tuhan Maha
Pencipta.
Mungkin, mana tahu sang Bulan
cemburu pada malam harinya. Reaksi comel.
Aku seperti biasa. Pulang daripada
kelas setiap hari dengan
menaiki metro tanpa jemu. Pedulikan panasnya, sehingga kulitku sedikit merah akibat manifestasi kepanasan ini,
terutamanya pada awal bulan Ogos yang sememangnya adalah kemuncak musim
panas. Nasib baik sedikit sahaja penumpang petang itu, dapat juga aku menarik nafas lega.
Kebiasaannya kepadatan metro boleh menambahkan lagi tahap kerimasan aku, juga
buat manusia lainnya.
“Enta tiada apa-apa ‘feed-back’kah?
Reaksi enta sama je.”
Akif, sahabat serumah menegur.
Aku memandang hanya dengan bebola mata. Memang kebiasaannya kami berdua akan pulang
bersama setiap hari daripada kelas dengan menaiki metro. Kebetulan penempatan
kami tidak terlalu jauh daripada Universiti Zaqazig, maka ia sangat memudahkan.
Kelihatan dia sedang menelaah
bacaan kitab ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ karangan Syeikh Fathi Yakan,
ulama silam terkemuka Mesir. Akif sememangnya peminat buku dan kitab. Semasa di Malaysia
dulu pun dia terkenal dengan ulat bukunya.
Insan yang sentiasa memberi
pinjam bukunya kepada aku. Tidak pernah bosan. Apatah lagi jemu.
“Enta memang beginikah, tidak ingin
bertindak melakukan sesuatu?”
Dia menumbuk kecil bahu aku. Aku
angkat kening dan penasaran. Kenapa tiba-tiba tumbuk bahu pula ini? Kenapa pula
‘tidak bertindak melakukan sesuatu’? Mahu mencari gaduh manja ke? Sekeh nanti
baru tahu.
Akif menggelengkan kepalanya,
kemudian terus menyambung bacaannya. Aku terus dengan memandangnya sepi. Cermin
mata aku naikkan sedikit. Dia masih tekun dengan bacaannya. Aku rasa bersalah
pula.
“Enta jangan buat muka jambu dan
‘innocent’ enta itu ye. Enta tidak kisahkah dengan risikan Marwan pada
dia?”
Tiba-tiba Akif mencubit pipi aku. Aku
menepis tetapi gagal. Aku memandang kosong pada dia. Adakah patut dipanggilnya
aku jambu, gelaran yang aku sering terima daripada usikan ikhwah yang lain
semasa di Malaysia dahulu sehinggalah sekarang. Tersengih dan aku terus memahami apa
yang dimaksudkannya.
“Enta mahu ana lakukan sesuatu
yang bagaimana? Ana bukannya ada hak untuk menentukan keputusan dia.”
“Dia belum tentukan keputusan
dia lagi. Ana dengar daripada sebahagian akhawat dia sedang menunggu seseorang.
Bukannya Marwan.” Akif merenung aku. Adakah cuba memberitahu sesuatu?
Aku
penasaran.
“Siapa pula orang yang dia
tunggu itu?”
“Enta buat-buat tidak faham atau
memang tidak faham?” Akif menarik telinga aku pula. Aku mengaduh. Aku sudah
agak!
“Lagipun ana mana tahu dia
sukakan ana ke atau tidak.”
“Tapi enta sukakan dia kan?”
Akif tersengih. Nampaknya aku sudah terperangkap dalam soalan dia. Haish,
pandai betul ulat buku seorang ini. Aku mendengus.
“Entah, tak tahulah. Soal hati
ini rumit. Lagipun enta pun cuma dengar-dengar je daripada sebahagian akhawat,
entah betul atau tidak.” Aku mendepa tangan. Menjeling Akif.
“Pulak, boleh pula dia tidak
tahu. Ana siku nanti baru tahu.” Dia mencebik. Aku ketawa.
Pandangan mata aku terus menari
ke luar metro. Kelihatannya destinasi penempatan kami semakin dekat. Wisma
Persatuan Pelajar Perubatan Zaqazig-Malaysia. Ya, di situlah penempatan kami
berdua bersama rakan-rakan lain daripada Malaysia, selama berada di bumi Mesir
ini.
“Enta suka dia tak?” Akif memaut
bahu aku. Dia tersenyum.
“Entah, mungkin kot.”
Tersenyum
kelat aku sambil menjungkit bahu. Akif terus tersengih. Menggeleng kepala. Mungkin
dia memahami, kerna pada aku dialah ibarat langit tinggi di atas dan aku pula
awan yang menghiasi pesonanya.
Indah.
Bidadari itu pula, tersenyum di
sebalik awan. Pemalu tetapi mendamaikan.
………………....................................
Aku memandang senang taman ini.
Awan biru di atas kelihatan sangat menyenangkan. Kelihatan ramai yang
menghabiskan masa petang mereka dengan melakukan aktiviti bersama keluarga
mereka di taman ini. Rakyat Mesir sememangnya aktif dengan aktiviti rehlah pada
petang mendamaikan sebegini. Tenang.
Aku duduk sepi atas kerusi dalam
taman ini, cubaan menenangkan jiwa yang kebelakangan ini agak kurang tenteram
dengan khabar tentang risikan Marwan terhadap dia. Bidadari yang kebelakangan
ini selalu menerawang sambil tersenyum malu di pemikiran bawah sedar aku.
Maka seperti kebiasaannya aku
suka melihat awan terutamanya pada petang sebegini. Mendengar muzik
instrumental sambil menanti di balik awan, mungkin terukir si dia akan tersenyum.
Mendamaikan jiwa. Mengharap agar bayu ketenangan
dari angin petang itu menjadi sumber inspirasi pada hati dan perasaan aku yang
kurang tenteram ini.
‘Dia bukannya suka aku pun..’
Muzik pula semakin terus aku putar,
semakin lama semakin tinggi pemikiran ini terbang. Melangit tinggi dan terus
cubaan untuk menembus pergi ke langit petala tujuh. Memberitahu sang awan dan bintang di
atmosfera bahawa pemikiran dan hati ini sedang merindui seseorang.
Tiba-tiba air hangat mengalir di
pipi aku. Teringat pada teguran bidadari itu semasa berada dalam satu organisasi
da’wah dan tarbiyah di Malaysia dahulu. Mungkin, sedih dan gembira bersatu
ketika itu menewaskan rasa ego seorang lelaki. Seorang pemimpin. Speechless.
“ Enta tidak boleh berterusan
sebegini. Perlu berubah.” Kata dia. Tegas.
“ Maksudnya? Ana tidak faham, boleh
enti jelaskan?” Subuh itu aku dengan dia berhadapan di bawah langit masjid universiti
seusai program Qiammullail anjuran organisasi kami sendiri. Sahabatnya Ulya
menemani.
“ Enta sebagai ketua organisasi ini
sepatutnya lebih berani tampil ke depan. Memberi ucapan, taklimat, teguran dan
sebagainya kepada anak buah enta. Tetapi kenapa sehingga kini enta masih lagi
berdiri di belakang mengharapkan Akif sahaja? Ketua itu sifatnya mesti berani
dan tidak malu untuk menyatakan kebenaran bukan?” Tangan dia mengaju kearah
Akif yang duduk sedikit di hadapan aku.
Aku semakin perasan mata dia semakin
berkaca. Aku tahu dia sedang mengawal air matanya daripada gugur. Saat itu aku
hanya mampu mendiamkan diri, tidak mampu membela diri. Tapi jiwa aku juga,
letih dan sakit mendengarnya terus.
'Dia yang tegur aku, kenapa pula dia
yang mahu menangis?’
Oh! Berat mungkin?
“ Apabila anak buah enta sudah
melakukan yang terbaik ketika arahan diberi, cubalah ringankan sedikit mulut
itu untuk memberi ucapan tahniah dan terima kasih. Kami terasa sangat, ana juga
sangat terasa dengan enta.”
Tika itu, seakan air mata aku bakal
tumpah. Melihat Akif dengan pandangan sejuknya, aku sedikit terubat. Kelihatan
Ulya cuba menenangkan si dia. Aku terdiam.
Dan buat pertama kalinya aku melihat
dia menangis dalam dakapan Ulya. Malam itu pula dalam sujud, aku menangis akan
kelemahan lelaki ini dalam sebuah organisasi kepimpinan dakwah dan tarbiyah.
Maaf bidadari.
Maaf Allah.
……………………............................
“
Enta mahu tahu betapa pentingnya Sungai Nil kepada bumi Mesir ini?”
“ Maksud enta?”
Aku pelik dengan
soalan Akif tiba-tiba ini. Aku merasakan ada aura di sebalik soalan yang
diajukan. Si ulat buku ini mungkin sekali lagi mencuba membuka peti memori aku.
Terima kasih kerana mencuba. Uhibbuka Fillah!
Malam itu Sungai Nil dan bumi
Mesir ini menemani kami. Seronok melihat suasana sungai Nil pada malam hari dengan
kelap-kelip lampu hias dari perahu-perahu kecil yang bergerak perlahan
terutamanya selepas enak menikmati firoh masywi. Hadiah daripada Ammu Uzair,
penjaga wisma kami yang berbangsa Mesir itu.
“ Ya mereka sangat memerlukan
antara satu sama lain. Mungkin bumi Mesir akan tiada tanpa Sungai Nil. Mungkin
juga Sungai Nil pula akan tiada tanpa bumi Mesir. Kata orang, kewujudan kita
kerna adanya fungsi kepada kewujudan insan yang lain. Sepertinya adanya ana
kerana adanya enta bukan?” Senyum aku pada Akif.
Dia menghirup ashir tebu sambil
kelihatan matanya tersenyum pada aku. Akif, memang seorang lelaki juga seorang
sahabat terbaik dari Tuhan buat aku. Anugerah Tuhan yang sentiasa menemani aku
ketika susah dan senang tika melangkah setiap detik dan saat di bumi Anbiya’
ini. Sentiasa aku doakan dia menjadi sahabat syurga aku, menjadi Saidina Abu
Bakar buat aku.
“ Juga adanya enta kerna adanya
sang bidadari itu.” Akif menyiku lengan aku dengan senyuman tersirat dia lagi.
Kemudiannya menunjukkan jari telunjuknya pada langit gelap di atas. Bintang
mungkin.
“ Ada-ada sahaja enta ni.
Bidadari lah, isteri solehah lah. Macam-macam.” Aku menolak Akif. Dia
mengangkat kening. Kemudiannya kami ketawa bersama.
Suasana sepi sebentar. Aku dan
Akif terus menghirup ashir tebu. Memang melegakan.
“ Kebelakangan ini ana lihat
muka enta ini sedih seperti plastic surgery tidak siap sahaja kenapa?”
Akif bersuara.
“ Banyaklah enta plastic
surgery?” Aku tertawa.
“ Enta masih terasa lagi dengan teguran
dia sewaktu di masjid universiti dulu ke? Bukankah selepas teguran itu
dengarnya organisasi kita itu semakin mendapat tempat di kalangan pelajar, yang
mana diterajui enta sendiri dahulu? Seolah dia sudah menjadi catalyst
buat enta tahu.”
“ Bukanlah.”
Aku
menghela nafas.
“ Habis itu kenapa?”
“ Kenapa apa?”
“ Haish. Mengalih topiklah itu. Kenapa
sehingga sekarang enta tidak terus katakan sahaja yang enta suka kepada dia?”
“ Sebabnya ana tidak tahu sama
ada dia ada perasaan pada ana atau tidak. Mungkin ana rasa syok sendiri sahaja.”
Aku merenung tepat pada bintang di langit. Ashir aku hirup. Tersengih.
“ Dan enta tidak kisahkah andai
risikan Marwan, ketua umum perwakilan
pelajar semasa kita di Malaysia dahulu itu dia terima?”
Aku terus senyap dengan soalan Akif.
Sedikit terasa dengan soalannya.
Tersentap.
‘ Sudah tentu kisah. Lagipun Marwan itu kawan baik aku dahulu, satu usrah dan juga satu bilik. Dia lebih layak..’
…………………...................................
“Andai gula tahu betapa manisnya cinta,
Pasti ia tersipu kerana manisnya tidak seberapa”
(Jalaluddin Rumi)
Dia adalah bidadari Tuhan dari
syurga. Bicaranya sopan. Wajahnya sejuk dipandang. Menutup aurat dengan
sempurna dan pandai menjaga batas-batas pergaulan. Solehah dan juga sangat
pandai menghormati orang lain. Walaupun agak sedikit tegas bicaranya,
terutamanya dengan lelaki, tetapi tetap juga menyenangkan hati.
Dia adalah wanita yang tidak
kurang hebatnya dalam usaha da’wah dan tarbiah ini. Mempunyai pengaruh
tersendiri di universiti di Malaysia dahulu. Sentiasa menjadi rujukan kepada
sahabat dan akhawat yang lain. Namun dia bukanlah sebaik Masyitah pada zaman
Nabi Musa, juga bukanlah sehebat Maryam ibu kepada Nabi Isa, bahkan juga bukanlah
seagung Khadijah kekasih pertama Baginda Muhammad SAW, tetapi dia tetap
memiliki keistimewaan tersendiri.
Walau dia menjadi antara hamba
Allah yang sangat penting dalam organisasi sewaktu di universiti dahulu, dia
tetap memiliki sesuatu sangat aku kagumi. Keistimewaan yang tersendiri.
Ya, kerendahan dan kesederhanaan
hati.
Itulah yang telah menumbuhkan rasa
kepada perasaan ini.
Walaupun tika itu aku yang juga muda setahun lebih darinya
memegang tampuk kepimpinan sebagai ketua, dia tetap juga tiada rasa ketinggian
diri. Tidak berubah. Tetap thabat.
Walaupun dia yang hadir daripada
lingkungan keluarga beragama, itu tidak menjadikan dia jauh dan sentiasa berasa
selesa dalam zon lingkungan beragama itu. Dia bersederhana dan merapati semua
rakannya tanpa mengenal latar belakang keluarga mereka beragama atau tidak.
Kekayaan keluarga juga tidak
menjadikan dia meninggi diri. Kesederhanaan dia, sentiasa menjadi penghias
utama pesona dirinya. Kerendahan hati dia, sungguh menarik hati. Dia yang
solehah. Bidadari.
‘Marwan lagi hebat daripada aku.
Lebih layak untuk dia…’
Al-Quran di hadapan aku renung
dengan sedalamnya. Iktikaf dan hafalan di masjid pada hari yang tiada kuliah
sebegini sangat mendamaikan. Aku merenung langit biru masjid, indah mendamaikan.
Kenangan lalu menyinggah. Sedikit terubat.
“ Assalammualaikum.”
“ Waalaikum…salam. Err…”
“ Tahniah enta dapat belajar ke
Zaqazig.”
“ Syukron kathir.”
“ Afwan.”
Suasana senyap sebentar. Petang
itu di lapangan Terbang KLIA, sebelum aku berangkat menyambung pelajaran ke
Universiti Zaqazig, aku penasaran dengan kehadiran dia. Kenapa? Menghantar aku
pergikah?
“ Kenapa enti datang sini? Ada
apa-apakah?”
‘ Dia hantar enta pergilah.’ Akif
di sebelah membisik. Aku menyiku dia. Akif ketawa kecil, dek cubaan aku memachokan
diri.
“ Kenapa tidak bolehkah?”
“ Boleh sahaja. Tidak salah.”
Aku tersengih. Aku membetulkan kopiah hitam di kepala yang tidak senget.
“ Ana menghantar Ulya sekali
petang ini. Dia juga antara pelajar yang tersenarai dapat sambung degree
di Zaqaziq seperti enta juga bukan? Sudah lupa?” Ulya di sebelah, tersenyum.
Aku perasan diri sendiri rupanya..
“ Owh ana ingat dan sudah lupa
senarai nama tersebut. Enti tidak dapat sekali tawaran itu?”
“ Eh, kenapa jika ana tidak
pergi? Ana bukannya ada kaitan dengan enta. Tidak penting pun.”
“ Oh! Betul juga tu. Lagipun ana
dengar enti akan bertunang dengan Marwan, sahabat usrah ana dahulu. Tahniah!”
“ Emm Enta tidak kisahkah?”
Aku terdiam. Hati aku bergetar
tidak tahu untuk menjawab apa. Kenapa tiba-tiba dia bertanyakan aku tidak
kisahkah? Eh! Kenapalah celupar sangat mulut aku tiba-tiba membicarakan kisah
pertunangan dia?
“ Enta tidak kisahkan tentang
risikan Marwan terhadap ana?” Dia mengulang kembali soalannya. Mengangkat
kening.
“ Kisah juga. Tetapi mahu
bagaimana, bukan ana yang Marwan risik bukan?” Aku tersenyum. Gaya bersahaja.
Cubaan mengelak akhirnya berjaya.
“ Enta ini bergurau ye?” Dia
tertawa indah. Telapak tangan kanannya menutup mulut kecilnya.
Comel.
Bidadari.
“ Ana mahu minta bantuan enta
untuk tengok-tengokkan adik ana, Isam sepanjang dia di sana nanti. Andai dia
mempunyai masalah atau sebarang kesulitan, minta bantu dia boleh?”
Oh! Aku
lupa. Baru teringat dia juga mempunyai adik lelakinya. Sebaya dengan aku dan
juga bakal menyambung degreenya di Universiti Zaqazig. Agak rapat juga
dengannya, maklumlah teman seusrah di universiti dahulu.
Senyum.
“ Kalau ana tidak mahu
bagaimana?”
“ Terpulanglah. Kalau apa-apa
terjadi kepada Isam, orang yang pertama ana cari dan kerjakan ialah enta.
Siaplah.”
Dia mengajukan jari telunjuknya yang bergoyang pada aku. Tetap tidak
berubah sifat ketegasannya. Kadang-kala itu yang menyebabkan aku menjadi sedikit
gerun dengan bidadari ini. Mungkinkah menunjukkan sifat caring dalam
ketegasannya?
Mungkin itu juga antara faktor buat aku lebih terikat pada dia.
“ Kemudian ana akan laporkan
pada Marwan bahawa sahabat baiknya dari Malaysia bakal dibelasah oleh akhawat atau
bakal tunangnya sendiri.”
Aku mengerakkan sedikit kepala, seolah menunjuk
kepada Marwan yang sedang duduk bersama keluarganya di tempat menunggu. Dia
juga bakal menyambung degreenya, tetapi di Universiti Cairo.
“ Enta selalu begini bukan? Tidak
peduli dengan perasaan orang lain.”
Dia memeluk tubuh. Memegang tangan Ulya
kemudian beransur pergi ketika pengumuman berlepas sudah kedengaran. .
‘ Eh! Merajuk ke?’
Haha tapi comel.
Daripada bicaranya itu, aku
dapat merasakan dia mempunyai suatu perasaan terhadap aku. Tetapi seperti aku
yang tetap teguh kepada prinsip bahawa rasa cinta itu hadirnya bersama
tanggungjawab, tetap merelakan semua ini biarlah berlalu walaupun hakikatnya
menyakitkan.
Seperti biasa ayat yang selalu
dan kuat bergema dalam rasa dan perasaan ini, berulang.
‘Dia bukannya ada perasaan terhadap
aku…’
Aku bersalaman dengan ummi abi,
adik-beradik dan ikhwah yang sudi datang malam mendamaikan itu. Kemudiaannya
aku dan akif juga sempat bersalaman dengan ayah si dia, Ustaz Saiful Islam. Juga
seorang pensyarah di universiti tempat kami belajar.
Kami berpelukan dan mengucapkan
selamat tinggal. Di hadapan umminya, kami senyum sebagai tanda selamat
perkenalan. Bidadari itu pula sekadar menjeling tajam.
“ Antum berdua ini Akif
dan Athar bukan. Sahabat baiknya kepada Marwan sewaktu di Universiti dahulu?”
“ Ye ustaz. Bagaimana ustaz
tahu?”
Akif menjawab. Aku pula pelik. Bagaimana ustaz boleh mengenali kami
sedangkan inilah pertama kali kami berpeluang berhadapan dan mengenalinya
dengan lebih dekat. Kebiasaannya kami hanya memandang Ustaz hanya daripada jauh
sahaja di dalam kelas. Ada apa-apakah?
“ Begini. Ustaz dan zaujah minta
antum berdua tolong tengokkan Isam semasa dia di sana nanti boleh? Maklumlah
dia itu pendiam sedikit orangnya. Lagipun antum berdua teman seusrah dengan Isam dulu bukan. Tentu lebih mengenali dia? ”
Ustaz Saiful Islam memandang kami. Teduh
pandangan matanya.
“ Insyaallah. Tetapi bagaimana
ustaz tahu yang ana dan Athar adalah teman seusrah dengan Isam ya? Sekadar
bertanya, maaf ustaz. ” Tersengih Akif bertanyakan soalan. Menggaru belakang kepala yang tidak gatal.
“ Oh! Kebetulan selepas sesi
ta’aruf Marwan dengan Najwa tempoh hari. Marwan ada beritahu yang antum berdua
bakal satu universiti dengan Isam. Tinggal di wisma yang sama. Itu yang ustaz
minta bantuan pada antum berdua, boleh ke?
“ Insyaallah boleh ustaz. Tahniah
juga, Alhamdulillah bakal berkahwin akhirnya anak sulung ustaz ya.”
Aku sekadar mendengar bicara Akif dengan Ustaz Saiful Islam. Aduh! hati aku sakit
mendengarnya. Sudah ta’aruf? Jadi jawapannya?
“ Tetapi Najwa minta diberikan
masa selama tiga hari. Hari terakhirnya adalah esok. Minta doakan untuk
kesejahteraan anak ustaz. Semoga Allah mengaturkan yang terbaik untuk
hamba-Nya.”
“Insyaallah amin.”
Sahut kami
berdua. Aku tersenyum tetapi hati sakit menelan kenyataannya.
Rasa sakit yang
tidak dapat aku tafsirkan.
Aku memejam mata. Tidak mahu air
mata berguguran di hadapan insan lain.
Aku terlambat.
Allah…...
……………………….......................
Dia menyuruh hamba-Nya berdoa agar
dia memakbulkannya,
Maka kuselitkan impian dalam doa
saban hari tiap ketika,
Ku ingin melihat dia tersenyum dan
ku ingin dia bahagia
Moganya keyakinan dia menjadi dai’e
buat ummah bukan mimpi semata.
Sungai
Nil. Tidak pernah bosan dia merenungnya. Debur sungai perlahan bagaikan alunan
muzik asli, penuh ketenangan dan mendamaikan di samping bunyi-bunyian aliran
airnya yang mengenai tebing. Di sinilah dia jatuh hati dengan bumi Mesir, di
sebalik tengahnya mengalir Sungai Nil dan hujungnya berdiri megah monumen
firaun yang angkuh, berpuluh-puluh camar berterbangan menghiasi jingga senja
pada musim panas saban hari. Gerombolan anak angsa mengikut sang ibunya dengan
rasa cinta, berenang di sepanjang tepian sungai Nil.
Mengikut dengan rasa cinta?
Aku menyeluk saku kocek seluar
dan kemudian mengeluarkan telefon bimbitku. Cubaan mencari video bulatan gumbira kami pada minggu lepas, tentang cinta.
“Wah! Tajuk usrah kita hari ini
cinta. Akhi ini murobbi cintakah?” Suara Saif keriangan.
“Bukan murobbi cinta tapi doktor
pakar cinta.” Sahut Akif memaut bahu Saif. Ketawa besar mereka berdua.
“Banyaklah antum punya doktor
dan murobbi cinta!” Tangan Hamidi mencuit pinggang mereka berdua. Aku pula
sekadar ketawa kecil dan tersengih menampakkan gigi. Geleng kepala dengan
kerenah team usrah Al-Fateh kami ini.
Aku tersenyum. Hatiku lapang.
“Baiklah berbalik kepada tajuk
kita iaitu ‘cinta’. Apakah yang antum faham tentang cinta itu sendiri? Cuba
Akif beri pendapat, mana tahu berpengalaman mungkin?”
Murobbi kami, Hamidi
adalah seorang pelajar perubatan di tahun akhir. Beliau sangat bermakna buat
kami semua. Dialah yang menunjuki pada kami apa itu erti mencintai jalan da’wah
dan tarbiyah ini, juga apa ertinya mencintai sesama insan semata kerana Lillahi
Ta’ala.
“Em, Ana?” Dia menunjukkan jari
telunjuknya kepada diri dia. Keningnya terangkat sebelah. Gaya kebiasaan Akif.
“Pada ana cinta itu ibarat
coklat cair lagi pekat dengan rasanya yang sangat sedap. Apabila kita merasanya
sedikit, semakin kita rasa untuk mengambilnya lebih banyak. Tetapi kalau
terlebih maksimum ambil pula, boleh jadi mudarat buat kita. Diabetic Mellitus.” Terang Akif
memandang kami semua.
“Wah! Menakjubkan sungguh! Jiwang
lagi karat rupanya Akif a.k.a jejaka jambu Zagazig ini!” Usik Saif.
“Banyaklah!” Akif menolak bahu
Saif.
Tawa kami meletus lagi.
Konferens riang kami sememangnya begini. Sentiasa berbentuk santai tetapi
sangat berkesan. Terasa ringan untuk berkongsi pendapat, malah berkongsi rasa
sedih, kaseh dan sayang kerana semuanya lillahi Ta’ala.
“Apa itu cinta? Cinta itu bila
hati akan mula berbunga. Persekitaran yang tandus segera subur menghijau,
bunga-bunga menguntum indah menyebarkan kewangian segar. Kelesuan berubah
menjadi tangkas dan cergas. Tangisan sayu menjadi senyuman manis dan indah..”
Terang Hamidi lagi.
“Sebenarnya cinta atau mahabbah
kepada Allah itulah merupakan tujuan utama kehidupan bagi mereka yang
menelusuri jalan menuju Allah. Tidak satu pun dari tujuan yang lebih tinggi
dari cinta kecuali semuanya hasil daripada cinta itu sendiri, seperti rindu
kepada Allah dan merasa tenang apabila bersama dan mengingati-Nya. Al-hasilnya
pengorbanan dan bukti kesungguhan dalam cinta kudus ini adalah taubat,
kesabaran dan rasa zuhud.”
Terang lagi murobbi kami dengan
lemah lembutnya. Pandangan dan kata dia seolah memberikan rasa bahawa cinta itu
bukan sekadar rasa, tetapi ia juga punyai Allah. Tidak lengkap cinta tanpa
Allah. Tiada cinta tanpa bersandarkan kepada pencipta cinta itu sendiri.
“Akhi Hamidi pernah rasa cinta?”
Tiba-tiba Saif mencelah. Dia tersenyum ada makna.
“Pernah. Melalui cinta yang
agung terhadap Allah.” Hamidi menjeling kembali kepada Saif, menguntum senyum.
Dia kemudian menyambung.
“ Atas rasa cinta itu seseorang
akan melakukan ibadah atau pekerjaan sesuai dengan perintah dan menjauhi segala
larangan-Nya. Cinta kepada-Nya adalah cinta yang berdiri sendiri dan menjadi
sumber utama dari keseluruhan cinta kepada selain-Nya.”
" Dan bila mana kita kata kita cinta, kita mestilah hendak bersama-sama dengan orang yang kita cinta, ke surga Allah bersama-sama nanti."
Tepukan gemuruh daripada kami
semua buat Hamidi. Hasil daripada perbincangan itu aku seolah memahami akan
tujuan di sebalik Hamidi memilih tajuk tersebut. Terharu sungguh akan
keprihatinan murobbi aku seorang ini. Tahu-tahu sahaja mengenai aku.
“Ana rasa enta kena melakukan
sesuatu. Cuba enta bergerak sikit.” Sapa Hamidi usai usrah petang itu sambil
menepuk belakang aku. Bergerak apa? Aku mengangkat kening. Entah, sudah kali ke
berapa dia minta aku untuk bergerak.
Ketika itu selepas selesai menjamu
selera dengan masakan spaghetti Akif, kami berempat duduk bersidang di bawah
teduhan pokok rendang, menikmati alam dengan hati. Seperti sifat kebiasaan
murobbi akan cuba membaca dan mengetahui masalah mutarabbinya.
“Ok enta buat muka innocent
dan chubby enta itu lagi.”
Hamidi mencubit pipi aku. Dia memang begini. Aduh!
“Bergeraklah untuk kehadapan.
Bergeraklah untuk mendapatkan kebahagiaan enta sendiri. Jangan korbankan
perasaan dan hati enta sendiri kerana disebabkan kelemahan dan ketidak yakinan
enta sendiri. Yakinlah dan bergeraklah. Kemudian bertawakkallah. Allah suka
hambanya yang berusaha untuk kebaikan dirinya sendiri.”
“Tapi ana…”
Belum sempat aku
menghabiskan bicara Hamidi terus menyambung.
“Tak layak untuk dia begitu? Bukankah
kita sebagai hamba-Nya yang berada di jalan da’wah dan tarbiyyah ini seharusnya
hidupnya saling lengkap melengkapi. Sememangnya adalah betul kita tidak layak
untuk bergandingan dengan insan yang kita anggap hebat, tetapi kita juga perlu
meyakini….”
Tiba-tiba Hamidi menghentikan katanya. Dia melihat awan, tersenyum.
“Meyakini…” Aku mengulang. Melihat
awan, kelihatan mendung.
“Meyakini bahawa awan itu
menjadi hebat juga kerana adanya bumi yang sanggup menerima cinta daripadanya.
Awan menjadi hebat, kerana bumi menerima air kasih darinya. Bumi juga sangat
hebat pada pandangan awan, kerana awan
sanggup menaunginya dari kepanasan Sang Matahari. Indah. Konklusinya, mungkin
bidadari enta itu tidak mengharapkan kesempurnaan dari enta, tetapi cukuplah
sekadar menjadi awan buat dia, meneduhkan.”
“Maksudnya?”
“Inspirasi penguat hati. Saling
menginspirasi.” Hamidi tersenyum.
Ya! Kata Hamidi itu sangat
terkesan buat aku. Ibaratnya seolah awan memberi senyuman buat aku. Terima
kaseh awan!
“Ana jumpa Marwan sewaktu
perhimpunan Jaulah musim sejuk dua minggu lepas. Dia ada pesanan.” Lelaki itu
masih lagi melihat awan. Tidak jemu. Memijak daun kering di kakinya.
“Kata dia semasa sesi ta’aruf,
pihak perempuan telah menolak pinangan dia.”
“Emm?”
Aku seakan tidak percaya
dengan apa yang aku dengar. Betulkah?
“Marwan beritahu yang akhawat
tersebut sudah mempunyai pilihan hati sendiri. Dia sedang menunggu seseorang.”
Hamidi memegang lembut tangan aku. Aku berpaling dan memandang dia dengan
pandangan lembut.
“Percaya atau tidak, kelakarnya akhawat
itu terlepas cakap yang dia sedang menunggu seorang ikhwah yang terkenal dengan sedikit chubby
dan innocent-nya itu.”
Hamidi mengangkat keningnya sambil menepuk bahu aku
berkali-kali. Hati aku bergetar. Err betul kah?
‘ Ya Allah, andai bidadari itu
jodohku, satukanlah. Andai bukan dia milikku maka sisihkanlah! Amin.’
Aku melihat awan. Mengintai
bidadari di baliknya. Kelihatan mungkin tersenyum pada aku. Dia sememangnya ciptaan
Tuhan yang memahami aku. Seolah dia menuntunku untuk bergerak mendapat
kebahagiaan sendiri.
Hatiku lapang. Tersenyum.
Bergerak?
Malu.
………………….............................
“Assalammualaikum..”
Aku memberi
salam. Kedengaran ganggang telefon diangkat.
“Waalaikumssalam.. Pak cik ini
siapa?”
Kedengaran suara lembut kanak-kanak kecil menjawab kembali. Menyoal
aku. Err pak cik dipanggilnya aku..
“Ini…kawan kepada Kak Najwa. Ini
siapa?”
“Oh! Saya Rifki. Anak saudara
kepada Kak Najwa. Pak cik mahu bercakap dengan siapa?” Belum sempat aku
menjawab..
“Siapa itu Rifki?” Tiba-tiba
kedengaran suara seorang wanita di sana. Menyapa.
“Tak tahu. Pak cik ini kata dia
kawan kepada Kak Najwa. Suara dia sangat lembut, sopan je.” Kanak-kanak tersebut
memerli aku ke? Sekeh nanti.
“Mari sini kakak jawabkan.” Aku
menelan air liur. Cubaan membetulkan peti kotak suara dengan mendehem. Darah
seakan mengalir laju dalam badan. Rasa sejuk. Bersedia.
“Ini Najwa menjawab. Boleh tahu
pak cik mahu menjawab dengan siapa?” Sahut dia bersahaja. Luluh jantung. Dia
juga memanggil aku dengan panggilan pak cik. Tak boleh jadi. Bertukarkah suara
aku di telefon ini?
Aku mengumpul tenaga untuk
menjawab kembali. Ya Allah bantulah aku ya!
“Ini ana, Athar. Bukannya pak
cik.” Aku sedikit mendengus.
Suasana
senyap seketika. Muka aku kemerahan.
“Oh enta…kenapa?”
“Ana mahu…” Kata aku terputus.
Tidak berani.
“Enta ini mahu bercakap dengan
abi ke?” Soal dia.
“Ana mahu…” Aku mencuba sekali
lagi tetapi tersekat. Aduh! Telan air liur.
“Enta mahu apa? Segera ya
bagitahu, ana sekarang ada urusan.” Dia kemudiannya mengulang. Aku sedikit rasa
tertolak untuk meneruskan bicara. Azam aku tidak mahu lagi terlepas peluang.
Pesanan murobbi, bergeraklah dan jangan lepaskan peluang untuk kebahagiaan
sendiri.
“Ana mahu meminang seorang
bidadari. Dengarnya dia menyukai seorang ikhwah chubby lagi innocent itu.”
Balas aku. Sedikit bergetar.
Tiba-tiba senyap. Aku mengetap
bibir. Peluh sejuk mengalir di dahi. Menunggu jawapan.
“Bengkeng. Kenapa baru sekarang!”
Aku terpana. Aku jadi pelik. Kenapa pula ada gaya jawapan semacam ini?
“Err..kenapa ini?” Peliknya.
Suasana hening sekali lagi.
“Sudah lama ana menunggu…”
Aku
terpana. Seakan tidak percaya dengan apa yang aku dengar. Kolam mata aku terasa
panas. Tangan aku semakin erat memegang ganggang telefon. Takut terlepas.
Ketika itu aku merasakan
kedengaran sedikit esakan dia. Terharu mungkin.
Aku memejamkan mata menahan air
mata terharu daripada keluar.
Aku rasa bahagia.
Terima kasih Allah.
Moga rasa ini terus ke
syurga-Mu. Insya-Allah amin.
Bahagia.
……………………….....................
Kau
bidadari di hati,
Menjadi
inspirasi dan sumber kekuatan,
Ketenangan
kepada cahaya kesedaran,
Kau
sentiasa mendamaikan.
Di
tempat yang tinggi, kau menanti di balik awangan,
Menanti
untuk memberi senyuman
Melembutkan
hati kepada pelihatnya.
Kau
putih suci di pandangan
Walau
jarak memisahkan
Kau
tetap menjadi majaz yang sangat menyedarkan.
Kelihatannya
kau ibarat bidadari di sebalik awan
Mengintai
atau meninjau dengan perasaan
Lantas
aku mendengar kau bisikkan pada awan
‘Aku
menerima dia dengan senyuman’
Senyum.
Bahagia.
-PAB-
Pertama kali saya menulis cerpen yang berlatar belakang chenta dan kaseh sayang. Dek terkesan dengan pendefinisian chenta oleh beberapa rakan dalam perjuangan ini, saya terjemahkannya dalam bentuk penulisan cerpen ini.
Cerpen ini (ke novel? sebab panjang) saya dedikasikan kepada ikhwah tersayang yang selama ini sentiasa menemani diri dalam arena da'wah dan tarbiyah ini. Juga khasnya buat harapan kepada bidadari saya yang kini, masih lagi dalam pencarian. Doa saya, moga Allah mencintainya, amin.
Dan harapan saya yang marhaen ini, moga si dia yang sedang membaca ini, dia terharu.
Senyum bermakna.
2 ulasan:
Subhanallah! Rasa macam baca kisah benar. Err, ke memang kisah benar?
Hoping to read lots and lots more from u.... insyaAllah
assalamulaikum saudara.
saudara,kisah yang baru sahaja saudara tulis ini adalah
sebuah kisah cinta yang sangat menarik dan bagi saya ianya seolah
seperti kisah nyata.apa apun,
tahniah saya ucsapkan kepada saudara kerana saudara berjaya menulis cerita yang menarik sebegini.
Catat Ulasan