School Of Tarbiyyah

Sabtu, 13 Ogos 2011

Ada apa dengan Nikah Khitbah?

Nikah Khitbah : Solusi Masalah Cinta Remaja
Oleh : Ustaz Maszlee Malik


Selepas Majalah I sudi menerbitkan artikel “Cinta anta dan anti” penulis (ustaz Maszlee Malik) menerima banyak maklum balas. Sama ada melalui sms, panggilan telefon, emel dan juga pertanyaan-pertanyaan. Apabila majalah I bulan Mac pun turut memaparkan reaksi para pembaca mengenai artikel tersebut, persoalan ini semakin popular. Terdapat juga pertubuhan-pertubuhan di IPTA dan IPTS menjemput penulis untuk berbicara “soal cinta”. Walaupun bukanlah seorang pakar dalam hal ini, namun pengalaman yang dilalui sepanjang enam tahun menjadi pensyarah IPT turut mendorong artikel tersebut dihasilkan.

          Antara soalan yang biasa diajukan kepada penulis berkaitan artikel “cinta anta dan anti” ialah: “Apakah kesudahannya?” atau “Apakah penyelesaiannya?” Artikel tersebut seolah-olah tergantung, dan ramai yang begitu ingin mendapatkan jawapannya.

          “Ustaz, jangan biarkan kami terawang-awang begini, berikanlah penyelesaiannya!”, antara bunyi sms yang pernah diterima. Mudah-mudahan nukilan ini cuba memberikan alternatifnya.

Akibat Kurang Bercinta
           Ketika ada yang bertanya punca siswa dan siswi Melayu kurang cemerlang di IPT, saya jawab dengan mudah: “Mereka kurang bercinta!”. Tentu ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut. Mereka lantas mengungkit teori saya bahawa ramainya pelajar Melayu gagal di IPT adalah kerana gejala “coupling”. Saya menegaskan bahawa memang “coupling”lah yang menjadi faktor utama kegagalan pelajar-pelajar IPT, tidak kira Melayu atau bukan. Coupling hanya menghabiskan masa, duit, perasaan dan juga tenaga intelektual yang mereka ada. Coupling hanya membawa kepada kegagalan, kecuali coupling yang halal, iaitu menerusi perkahwinan! Lihat sahajalah laporan akhbar kosmo mengenai kegiatan seks luar nikah dan juga aktiviti pengguguran para siswi IPT di ibu kota.
  
Cuma bercinta dan coupling adalah dua benda yang berbeza. Bercinta yang dimaksudkan ialah proses percintaan yang sebenar. Cinta yang suci dan bersifat positif dan jauh dari pencemaran maknanya yang hakiki. Cinta yang difahami oleh kebanyakan orang dewasa ini adalah “nafsu” dan bukannya cinta. Cinta telah ditukarkan kepada nafsu oleh idealogi materialisme dan juga liberalisme yang berjaya menjajah pemikiran manusia dewasa ini. Cinta sebenarnya bersifat suci dan positif serta jauh dari nafsu. Sayangnya apabila manusia gagal memahami erti cinta, mereka telah menjadikannya sesuatu yang taboo, negatif dan juga tidak suci lagi.

         Coupling pula, walaupun dari segi literalnya bersikap neutral, tetapi telah dikotorkan oleh idealogi liberal yang menjadikannya hanya sebagai definisi kepada perhubungan intim dua insan berlaina jantina sebelum berkahwin. Mengikut tafsiran coupling yang difahami oleh ramai orang dewasa ini, ia bukanlah bercinta, tetapi lebih kepada “melayan nafsu serakah” semata-mata.
Cinta yang dimaksudkan di sini ialah cinta suci. Cinta kepada Allah dan Rasul, cinta kepada agama Islam, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada Negara dan juga cinta kepada pasangan suami atau isteri. Cinta akan menjadi unsur motivasi dan penggerak, dengan syarat ia adalah cinta sejati!

Khitbah Bukan Tunang
          Salah seorang remaja dari salah sebuah IPT di Gombak pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”.
Penulis menjawab: “Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, bercouplelah, tapi kena dengan cara yang halal…iaitu bernikah!”.

         Jika diutarakan persoalan nikah, ramai yang akan memberikan respon yang skeptic. “Mana ada duit!”, “Nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak bapak tak kasi!”, “Nak tinggal di mana?”, “Mana ada kerja lagi!”, “Diri sendiri pun tidak terjaga!” dan pelbagai alasan lagi. Mengapa mereka boleh mengemukakan alasan-alasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja… “Kamu wajib berkhitbah!”.

        Apakah “khitbah”? Jika diterjemahkan secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak.

        Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung”. Bukankah bunyinya amat mengerikan?

           Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan para siswa dan siswi kampus yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.

Khitbah di IPT
         Jika pelbagai alasan yang dikemukakan demi mengatakan bahawa bernikah di alam kampus itu mustahil, maka khitbah adalah solusinya. Kedua-dua pasangan tidak perlu duduk sekali, tidak perlu mencari rumah berasingan, tidak perlu menanggung satu sama lain, tidak perlu makan lebih,tidak perlu membeli peralatan rumah dan perabot-perabot. Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.

           Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di IPT-IPT seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengangguran di IPT-IPT Lembah Klang sudah cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus kea rah maksiat dan nafsu.

            Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.

Kebanyakan ibu bapa menyuarakan kerisauan mereka terhadap kemungkinan anak mereka akan hamil dan ia sudah pasti mengganggu pembelajaran. Penyelesaian untuk perkara tersebut amat mudah. Pasangan itu sendiri perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan pelbagai cara untuk mengelakkan kehamilan sewaktu belajar. Adalah amat naïf bagi mereka yang hidup alaf baru ini tidak mengetahui cara untuk mencegah kehamilan. Jika kaedah pencegahan tersebut gagal, dan dengan izin Allah, pasangan tersebut terpaksa menghadapi fasa kehamilan, maka sokongan ibu bapa amat diperlukan.

Risiko
         Seperkara yang perlu diingat, perkahwinan di kampus ini juga tidak sunyi dari risiko. Adalah terlalu silap untuk menyangkakan semuanya indah belaka tanpa sebarang cabaran. Pernikahan di kampus hanyalah salah satu penyelesaian untuk masalah perhubungan bebas di antara jantina dan juga salah satu kaedah rawatan untuk gejala maksiat di IPT. Sekurang-kurangnya, walaupun ia berisiko, namun ia masih dapat mengelakkan risiko yang lebih besar. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak terlibat dengan gejala berpacaran, serta boleh mengawal diri dan nafsu, adalah digalakkan untuk mereka hanya menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Cadangan nikah kampus atau nikah khitbah ini hanyalah untuk mereka yang tidak mempunyai ketahanan jiwa dan keyakinan diri yang mantap untuk menghadapai cabaran semasa yang begitu menggila. Akhirnya kepada para siswa dan siswi kampus dan juga para aktivis di universiti, walau apapun tindakan yang diambil, pastikan mardhatillah menjadi matlmat utama!

 p/s : Untuk makluman, artikel ini adalah karangan daripada Ustaz Maszlee Malik, seorang kolumnis yang aktif menulis di majalah-majalah seperti Majalah I dan Perspektif. Beliau juga adalah kolumnis tetap laman web seperti www.palestinkini.info dan www.eramuslim.com di Indonesia.

         Kebanyakan bidang penulisan beliau adalah berkisar isu Palestin, isu umat Islam 
antarabangsa dan fiqh kontemporari. 

p/s: Ustaz Azhar Idrus - Penjelasan TERBAIK mengenai Nikah Khitbah

         Selamat membaca dan semoga barakah pernikahan anda nanti, Insyaallah ^^

Jumaat, 5 Ogos 2011

Erti Ramadhan ini


            Bukanlah mudah apabila kita menempuh jalan yang dipenuhi dengan kebaikan, kerana hakikat kebaikan itu sendiri mempunyai duri yang menghiasi pesona duniawi. Dan apabila duri nafsu dan duniawi itu berjaya dicantasi dan dipaksai, maka lahirlah kemanisan ibadah yang hakiki.

            Kata-kata hikmah itu saya teringat apabila ia diucapkan sendiri tiba-tiba oleh hati. Tidak mengerti sama ada ia lahir daripada pengalaman sendiri atau hasil daripada pemerhatian yang terbatasi. Benar, erti Ramadhan ini sebenarnya sangat sukar bagi mereka yang tidak memahami. Persoalannya, adakah ia sekadar bulan Ramadhan yang dalamnya mempunyai juadah yang masyuk. Atau ia seolah umpama penjara bagi insan yang tidak sabar untuk keluar daripadanya segera bagi menyambut hari 1 Syawal yang penuh bermakna.

            Pelik dan takjub bagiku melihat individu yang mana usai sahurnya pertama Ramadhan dimulai dengan dendangan lagu raya. Bahkan bertambah pelik lagi apabila seolah solat Tarawikh itu seakan menjadi solat yang terlalu biasa dan tiada keistimewaan tanpa tindakan untuk mengerjakannya. Tidakkah pelik apabila kita melihat adanya manusia yang melihat di tepi jalan adanya ribuan emas tetapi tidak mempedulinya?

            Subuh itu saya segera ke surau berdekatan kerana ingin mendapatkan ganjaran yang berlipat ganda apabila beribadah di bulan Ramadhan. Mengetahui walau bumi Kuala Lumpur ini tidak mempunyai suasana seperti di madrasah di Ma’ahad dahulu, saya tetap gagahi jua untuk mengamalkan ilmu dan nasihat ustaz juga ustazah saya dahulu. Boleh jadi selangkah kaki ini melangkah, maka ribuan dosa durjana akan diampuni Allah yang Maha Mengasihani.

Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: “Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain”.

            Bagi insan yang merindui hari raya, saya nasihatkan bahawa mungkin anda seharusnya memperbaiki semula niat anda. Bukanlah maksud saya bahawa kita tidak boleh merindui Syawal, tetapi sebaiknya atau awlawiyyatnya kita perlu terlebih dahulu merindui Ramadhan yang mulia ini.

           "Sekiranya manusia mengetahui kebajikan yang terkandung dalam Ramadhan itu, tentulah mereka mengharap-harap supaya Ramadhan berlaku sepanjang tahun."

(Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya)

            Bahkan hadis ini cukup jelas memberitahu bahawa kita sebagai pemuda dan pemudi Islam seterusnya para Da’i abad ini, seharusnya merindui untuk berjumpa dengan bulan Ramadhan. Mengisinya dengan amalan-amalan kebaikan dan kebajikan.

            Bukanlah ganjaran pahala itu ditujukan kepada Allah yang Maha Kaya, tetapi hakikatnya kebaikan dan ganjaran itu akan terpulang semula kepada kita semula. Tetapi mengapa kita masih lagi tidak berusaha kearah itu, bahkan bermalas-malasan seolah olah kita telah dijanjikan Allah untuk ke syurga?

            Buatlah kebaikan dan kebajikan sehingga kita letih melakukannya, dan apabila kita melakukan kejahilan walau sebesar zarah, hati kita akan terpalit kesedihan di atas sebuah penyesalan.

            Pagi itu sewaktu di kelas belum bermula, kedengaran alunan zikir daripada sahabat saya yang duduk di sebelah. Wajahnya bersih seperti disirami siraman iman dan takwa. Hati cemburu akan kebaikannya dan diri ini seolah disengat untuk menjadi yang lebih baik daripada beliau.

            “Boleh saya bertanya, apakah faktor yang mendorong kepada saudara untuk sentiasa aktif di bulan Ramadhan ini dengan solat Tarawihnya bahkan dikesempatan ini juga awak mampu mengalunkan zikir?”

            Kelakar juga ayat yang saya gunakan untuk bertanya. Terlalu puitis. Tetapi itulah tandanya kebaikan yang boleh kita berikan kepada orang lain dengan bahasa yang molek dan indah. Bukankah perkataan indah itu menandakan hati yang indah juga?


            “Sebenarnya, sebelum saya menjawab soalan saudara, apa pengertian Ramadhan itu sendiri kepada saudara?” Soalan yang saya berikan dilempar semula kepada saya. Terdiam. Hakikatnya hati ingin bersuara, tetapi dijawab semula oleh dia.

            “ Ramadhan itulah sebenarnya pengubat jiwa, pengganda amal, bulan kerinduan hamba kepada pencipta-Nya. Penghulu segala bulan yang amat dirindui oleh seluruh makhluk yang mencintai-Nya, bahkan jiwa yang tenang akan berkocak sekiranya Ramadhan ini tidak ditambah amalannya. Imannya pula akan sedih sekiranya amalannya sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain.”

            Itulah antara bualan saya dengan dia pada petang hari tersebut. Seronok berkawan dengan beliau. Apabila kami bersama-sama ke surau berdekatan hostel kami untuk menunaikan solat tarawikh bersama-sama, selalunya dialah akan memberi kata-kata hikmah sehinggakan apabila memandang wajah beliau terus teringat akan pesanan Allah S.W.T iaitu:

Maksudnya: Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.

            Alangkah malangnya sekiranya di dunia kita bersahabat baik tetapi apabila di akhirat kelak kita akan tergolong ke dalam golongan ini iaitu saling memusuhi di akhirat nanti kerana saling tidak menguatkan jiwa dan iman dalam menuju keredhaan Allah S.W.T. Inilah sahabat remaja Islam era dinamik yang kita nanti-nantikan. Anda pula bagaimana?

            Terus-terusan Ramadhan ini seperti tiada manis dan indahnya apabila tiada dihiasi dengan amal ibadah yang bersungguh-sungguh. Menjadikan hiburan seperti lagu hari raya (tiada salah tetapi jangan menjadi keutamaan atau prioriti) sebagai pemanis tiruan sehingga berjaya menjadi acuan yang secara fizikalnya menarik, tetapi hakikatnya keenakan itu tidak dapat hadir kerana menumpukan sesuatu yang tidak bermanfaat.

            Malam itu selepas pulang berjalan kaki daripada tarawikh, sahabat saya ini Berjaya mengetuk pintu nafsu saya untuk berfikir.

            “ Alhamdulillah, sesaknya remaja dan dewasa di surau tadi sungguh membanggakan bahkan menenggelamkan para golongan tua yang kebiasaannya masa mereka banyak dihabiskan di surau atau masjid. Tetapi ada satu persoalan yang dapat kita simpulkan daripada tarawikh tadi, cuba saudara teka?”

            Meniru cara Baginda bertanyakan semula kepada Malaikat Jibril, saya berkata “Yang bertanya itu lebih mengetahui daripada yang bertanya”. Senyuman terlihat di bibir kecilnya.
            “Selesai sahaja habis solat Tarawikh sebanyak lapan rakaat, kita telahpun mendapati bahawa ramainya pemuda Islam kita telah syahid, bahkan ramai sekali daripada mereka yang lari daripada medan perang. Awak perasan ke?”

            Kami berdua memasuki gerbang hostel, lalu dia menyambung.

            “Maka yang tinggal tetap masih lagi golongan yang tua dalam meneruskan perjuangan mereka sehingga ke rakaat dua puluh ditambah dengan witir sebagai penyejuk iman. Perjuangan mereka kadangkala diakhiri dengan moreh sebagai kejayaan dalam peperangan nafsu untuk menyerah diri di tengah-tengah peperangan tadi.”

            Ironinya, saya benar-benar memahami maksud tersirat disebalik kata-kata sahabat saya itu. Itulah yang dikatakan erti Ramadhan itu hakikatnya sangat rapat dengan kekuatan remaja itu sendiri untuk menghayatinya. Malangnya, kita sebagai remaja Islam seterusnya murabbi terus tenggelam dalam lautan hiburan dan masinnya pesona duniawi dalam memfokuskan tumpuan kita terhadap erti Ramadhan.


            Bangunlah wahai Remaja Islam Murabbi, tegakkan saf anda sehingga berjaya menghayati Ramadhan ini, TAKBIR!!


Maka, permulaan kepada kebaikan benar-benar memerlukan mujahadah..
           
           

Khamis, 21 Julai 2011

Obsesi Cinta mu Zulaikha


Oleh : Nazri Bin Hussein

            Zulaikha, Aku lelaki Yahudi. Yahudi ortodoks kelahiran tebing Gaza. Daerah yang tidak pernah berhenti mengalirkan darah dan korban kematian. Cita-cita kami adalah kota al-Quds yang tersergam Masjid al-Aqsa yang menjadi tempat suci agama mu. Kata mu, di situ terpahat sejarah penting yang tidak pernah kau lupakan setiap kali mengingati kalendar Rejab – Rasul mu berangkat ke lapis langit ke tujuh Sidratul Muntaha menemui Tuhan dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

            Engkau bercerita tentang ketakjuban al-Quran yang terkandung enam ribu enam ratus enam puluh enam ayat yang kata mu ajarannya sesuai mengikut zaman tatkala aku tidak berhenti-henti melampiaskan teori zionis pujaan ku yang mimpikan dunia di bawah satu telapak tangan ajaran Yahudi yang berkiblatkan Jerussalam, kota suci agama ku yang suatu hari nanti bakal berstatus pusat pentadbiran seduania.

            Engkau ketawa terkekeh-kekeh di balik jilbab tatkala ku bentangkan piagam zionis yang terkandung di dalam doktrin Machiavellianisme. Jelas ku,  dunia telah mula menerima konsep menghalalkan cara demi menggapai satu revolusi menjarah keadilan dan hak asasi yang diperjuangkan segelintir manusia moralis. Lihat sahaja bagaimana mudahnya si penguasa polis dunia itu menggunakan alas an untuk menggodam Saddam dan Iraq hingga terbujur ranap kota tamadun awal Babylon hanya kerana dakwaan uranium dan senjata nuclear WMD yang akhirnya tidak pernah ditemui. Tataplah konflik Darfur yang kononnya dicemari keserakahan pemuda-pemuda berkuda Islam yang menjarah wanita dan anak-anak gadis demi memuaskan gelojak nafsu yang tidak lagi terbendung. Sedang nun di sepanjang persisiran Laut Arab jauh di selatan terhimpun khazanah emas hitam yang sedang diintai untuk dilahap sang politikus dari Rumah Putih. Hey, mereka juga di bawah taklukan kami. Serigala putih yang angkuh dan garang itu telah kami peralatkan demi memenuhi haloba kami menguasai ekonomi dunia sejagat. Ebkau tahu Zulaikha, kamilah yang mengutuskan amalan berhutang dan konsep riba sebagai dasar permainan ekonomi ke seluruh pelosok dunia demi mengukuhkan lagi cengkaman kami di atas nilai mata wang bagi membina empayar zionis yang teragung. Malah, kau pasti terkejut tatkala ku nyatakan tanah air kerdil mu nun jauh di kepulauan Nusantara juga tidak terlepas daripada cengkaman kami. Kami zionis penakluk dunia alaf baru.

            Wajah manis Muslimah Melayu itu cukup tenang setiap kali ku bentangkan piagam regim zionis. Yahudi Ortodoks yang suatu hari bakal menjadikan bangsa-bangsa lain sebagai sebagai hamba abdi. Zulaikha si perawan intelektual  berdarah campuran Arab Melayu itu melampiaskan senyum tatkala mata nakal ku menatap alis lentik dan bibir basahnya yang tidak berlipstik. Ada keharuman Alhambra yang tiba-tiba mencuit gelora nafsu  ku yang terhidu aroma di balik jubah kabuh yang membaluti tubuh kecilnya. Pertama kali bertemu engkau awal-awal lagi telah meminta ku menghormati batas-batas ajaran mu yang menekankan prinsip pergaulan bertatasusila dan tertib.
           

“ Kesopanan dan merendah hati itu ajaran kami. Panduannya sirah Rasulullah yang sepanjang hayatnya tidak mengenal sutera dan mahligai”

            Aku hampir mengilai kuat kala kau rentap lengan kematuku yang cuba menyentuh jari jemari halusmu. Engkau pantas menuduhku Yahudi gila yang ingin mengambil kesempatan daripada kelemahan manusia sejenismu. Lantas, kau bandingkan diriku dengan seorang demi seorang pemimpin Negara zionisku yang tidak berperikemanusiaan.  Yitzak Rabin, Simon Perez, Benyamin Netanyahu hinggalah Si Ariel Sharon yang katamu dalang di sebalik pembunuhan ribuan pelarian di khemah Shabra dan Shatilla.

            Anehnya, kau tergelak halus tatkala membayangi bagaimana seorang pembunuh paling kejam dan zalim itu dinobatkan untuk merangkul anugerah tokoh nobel keamanan dunia. Sungguh melucukan, katamu.

            Hey, si gadis yang belum mengerti apa-apa tentang percaturan dunia. Telah kukatakan berkali-kali, kami zionis yang bakal menjarah dunia dengan kuku-kuku beruncing licik dan penuh helah. Bukankah kezaliman dan kebiadapan itu sebahagian daripada misi opportunis untuk menguasai dunia. Bangsa-bangsa lain mesti di bawah cengkaman kami. Kami mesti teruskan visi yang terkandung di dalam fasa 3 piagam Bani Israel yang termenterai lebih seratus tahun silam yang merumuskan zionis mesti mengepalai dunia walau dengan apa cara sekali pun. Dan hakikatnya, perjanjian Balfour dan perjanjian Oslo membuktikan impian kami bukan retorik semata tetapi reality yang berpijak di bumi nyata.

            Engkau patut tahu Zulaikha bahawa tragedy Shabra dan Shatilla pada 21 September itu hanyalah cebisan kecil kezaliman dan keganasan kami, Jika kau selongkar fail rahsia agen Mossad kami, akan kau temui platun-platun Palmach, Haganah, Stern, Lehi dan Irgun yang jauh lebih licik dan ganas demi mendaulatkan zionis sebagai pemangsa. Buktinya, ratusan pemuda-pemuda Hamas yang menggerakkan intifada hilang tanpa dapat dikesan. Kami memiliki penjara yang jauh lebih menggerunkan daripada penjara Guantanamo Bay di Cuba yang menggemparkan dunia itu. Jangan sesekali kau terkejut andai di situ kau temui hakikat kuncu-kuncu kami bertopengkan seribu wajah telah bertaburan ke seluruh pelusuk dan daerah dunia. Barangkali engkau akan terkulai kaku tatkala kukhabarkan tragedi Ground Zero, 11 September yang menerjah wajah  gagah World Trade Centre di New York sebenarnya angkara agen kami. Dan siri-siri ledakan dan letupan bom di seluruh dunia juga tidak terlepas daripada muslihat zionis. Demi mengaburi mata dunia, kami tempelkan wajah-wajah Islam yang kononnya menjadi penaja keganasan. Kami mahu Islam dan umatnya terus-terusan dikutuk masyarakat antarabangsa sebagai fundamentalis dan terrorist.

            Engkau tahu apa vision kami? Islam tidak akan bangkit lagi mencipta tamadun seperti mana yang tercipta di Negara Madinah Al-Munawarah dan Andalusia ratusan tahun silam. Kami membiarkan mereka di alam khayalan mengimbas kegemilangan zaman silam. Nah, masihkah engkau berbangga dengan dunia Islam mu yang terus terusan menjadi mangsa terjahan dan penindasan sepanjang zaman.

            Zulaikha, misi kami setiap detik untuk menjulang doktrin zionis di puncak dunia sentiasa berubah-ubah. Kami tidak akan selamanya menggunakan peluru kekerasan untuk menentang Intifadah yang bangkit. Makin banyak darah pemuda-pemuda Palestin yang tumpah ke bumi rupa-rupanya tidak pernah mengendurkan semangat mereka. Walau secanggih mana pun peluru yang tersepai di kepala dan dada Intifada, makin membara keimanan mereka untuk mati syahid. Itulah ketakutan dan kebimbangan yang bakal menghalang cita-cita kami menjajah dunia. Kami tidak punya keberanian itu.

            Tentu engkau tidak lupa tragedy Rishun Letzion pinggir Tel Aviv yang membunuh puluhan rakyat Israel dalam serang hendap awal pagi di sebuah disko. Tatkala kami siasat bagi mengesahkan status dalang  penyerang berani mati itu, seluruh kami tersentak saat menemui mayat serikandi Palestin yang baru mencecah empat belas tahun terbujur bersama darah pekat memenuhi tubuhnya yang dijeruti bongkah-bongkah bom yang berkecai hangus. Yang kami bayangkan bagaimana harus kami hadapi kewujudan ribuan lagi anak muda sementah itu yang bersedia menjadi perisai menghalang penjajahan kami di bumi mereka dan di seluruh pelusuk dunia. Mereka diasuh dengan kecekalan hati, kekuatan iman dan takwa yang dibajai bertahun-tahun. Mereka tidak lagi mimpikan keseronokan dunia kerana cita-cita mereka adalah mati bergelar syahid atau syahidah. Sejak berpuluh-puluh tahun usaha kami melumpuhkan pergerakan jihad sentiasa menemui jalan buntu. Kau tahu Zulaikha, raifal automatik, peluru berpandu dan kereta kebal rupanya tidak pernah menggerunkan mereka. Di dalam hati mereka hanya ada iman dan Tuhan, lalu mati di medan tempur menjadi nikmat agung yang dicita-citakan.

            Zulaikha, gadis Nusantara yang bermaustatin lebih dua bulan di tebing Gaza sebagai anggota bulan Sabit Merah Sedunia terlopong menunggu jawapan dari mulut ku, zionis ortodoks berfahaman ekstremis ini menghulurkan jawapan.

            Media! Ya, media massa. Alat propaganda paling canggih yang mampu menipiskan iman dan ketakwaan anak-anak bangsa mu supaya lemas di dalam gelodak hawa nafsu. Kami eksport segala filem-filem yang mengkhayalkan perasaan. Kami utus cerita-cerita yang mengagungkan dunia Barat kepada generasi timur. Kami hijrahkan adegan-adegan pornografi melalui karya cetak dan elektronik demi membuaikan jiwa mereka agar melupakan matlamat hidup yang sebenar.

            Dan kalau ceritakan tentang kebimbangan mu terhadap generasi baru yang gemar melanggani laman web lucah hingga menjadi isu besar di Negara mu, aku ketawa geli hati mengenangkan misi utama kami telah mencapai sasarannya. Anak-anak bangsamu perlu disuburkan dengan segala macam hiburan dan pesta keseronokan yang terus-terusan melekakan minda. Dan usaha kami mula memberi petanda awal kejayaan visi zionis ini. Tatkala ribuan penunjuk perasaan mengganas di Kabul dan Jalalabad saat tersebar perlakuan keji tentera-tentera Amerika melumuri kitab suci al-Quran dengan najis manusia di kem Guantanamo, Cuba, anak-anak muda mu tidak langsung mempedulikannya. Mereka telah dimabukkan dengan keasyikan irama lagu dan lenggok muzik yang kami sebarkan. Mereka dilemaskan dengan sarat evolusi khayalan yang dilimpahi virus dadah, seks bebas, memuja hedonisme dan segala macam krisis sosial yang kian tenat. Dan aku merasa bangga menatap fesyen-fesyen dan bentuk pakaian yang membaluti tubuh anak-anak muda mu yang sudah berubah mengikut acuan zaman kontemporari yang berkiblatkan Barat. Hey, kau tahu Barat itu sebenarnya didalangi zionis. Ya, kami si zionis tidak akan jemu-jemu mengirimkan segala bentuk fesyen pakaian yang mendedahkan sebahagian tubuh anak-anak gadis mu agar lebih liberalisme. Malah kami perkenalkan slogan globalisasi dan dunia tanpa sempadan demi mengikis perasaan tradisi yang masih lagi menebal di kalangan umat mu. Tatkala mata ku sempat menatap ribuan anak muda mu di Kuala Lumpur yang asyik meraikan kedatangan seorang selebriti dari luar Negara di sebuah channel antarabangsa senyum ku melebar memerhati kegilaan anak-anak muda mu berpakaian mendedahkan tubuh tanpa segan silu.

            Zulaikha, semalam aku terbaca di laman internet tentang kadar jenayah yang terus meningkat hari demi hari di tanah air umat Islam. Di Negara mu, pembunuhan kejam bagaikan menjadi budaya baru dengan jenayah rogol, khalwat, sumbang mahram dan pergaulan bebas yang bagaikan tiada noktahnya. Engkau tahu Zulaikha, apakah punca sebenarnya yang telah meracuni minda anak-anak generasi mu. Ingatkah lagi pesan nabi mu yang termaktub di dalam surah A-Maidah ayat lima. Di situ terbentang suruhan memakan makanan yang halal dan berkat. Hei, pernahkah engkau menyoal apakah yang di makan oleh mereka? Apakah kandungan bahan-bahan yang menjadi santapan generasi baru mu setiap hari? Tentu engkau akan terkejut jika mengetahui kamilah sebenarnya yang mengeksport makanan-makanan ke Negara mu. Usah panik andai ku katakana bahan-bahan itu sebenarnya diambil daripada makhluk-makhluk yang jelas diharamkan di dalam ajaran agamu mu. Senjata kami amat licik. Kami telah lama menelaah dan mengkaji kitab pegangan mu, al-Quran. Di situ kami menemui rahsia kekentalan iman dan jihad generasi umat mu yang terletak pada apa yang mengisi di dalam perut mereka. Bukankah juga rasul mu memberi amaran beribu tahun dahulu agar berwaspada dalam persoalan makan dan minum.

            Kini pesan dan nasihat itu hanya tinggal nasihat. Ketika kami terus lekakan anak-anak remaja mu supaya berkiblatkan dunia Barat, orde Yahudi yang terhimpun di dalam dokumen asal zionis tiada lain ingin melihat seluruh masyarakat dunia sujud dan tunduk kepada sebuah Negara kecil, kami bumi Israel yang pernah melahirkan ramai para anbia’mu. Selagi belum tercapai cita-cita ini, selagi itulah kami jajah fikiran dan minda anak bangsa mu agar menyembah zionis yang bertopengkan Barat. Kami khayalkan mereka dengan pesta demi pesta. Kami ciptakan pakaian-pakaian yang menjolok mata dengan ciptaan terkini. Kami jadikan media sebagai medan memperkenalkan produk-produk makanan ciptaan kami yang dicemari, gelatin dan tisu yang tidak halal. Malah kebanggaan ku lebih terserlah ketika menatap wajah-wajah generasi Islam yang mula menagih alkohol sebagai minuman kegemaran.

            Hanya satu yang masih terkilan di hati kecil ku, aku masih belum mampu menundukkan nafsu berahi mu agar rebah di dalam pelukan cinta si zionis ortodoks ini.
Benteng iman mu terlalu kental untuk ku tewaskan, Zulaikha. Tidak seperti si Puteri Zulaikha yang gagal mengawal godaan cintanya terhadap Nabi Yusoff yang serba menawan, engkaulah perawan Muslimah yang hampir-hampir melemaskan lelaki Yahudi ini terhadap kejelitaan dan kehalusan budi bahasa mu. Aku terpanah oleh kelembutan pekerti mu, saat kau bakal tinggalkan bumi al-Quds ini dengan serangkap pesan yang mengocak rohani ku.

            “Kami bukan dilahirkan untuk menjadi bahan eksperimen mu, Yahudi. Islam akan bangkit dengan cahayanya bergemerlapan, gemilang di sebelah timur dunia. Keadilan dan kebenaran akan meruntuhkan paksi kejahatan dan kemungkaran.”

            Waktu ku tatap E-Mail kiriman mu, teringat aku buku rujukan tesis sarjana psikologi ku The Revolution of Hope tulisan Erich Fromm, psikoanalisis berfahaman zionis kelahiran Jerman yang meramalkan humanisme berasaskan keadilan sejagat akan menguasai dunia. Bukan komunisme, zionisme, atau kapitalisme tetapi Islamisasi yang terus subur memperjuangkan kebenaran dan keadilan hakiki. Aku mengakui kebenaran mu itu, Zulaikha. Justeru, ku balas E-Mail mu dengan perenggan kata-kata seikhlas hati. Anak-anak bangsa mu  memerlukan perisai keimanan dan ketakwaan yang kental untuk menghadapi serangan virus F3ml yang boleh menjerumuskan umat mu ke lembah kehinaan. F3- fiesta, food and fesyen… semuanya digerakkan di dalam sel yang satu, multimedia.

            Ingat, virus ini belum pernah tercatat di dalam mana-mana istilah perubatan. Namun, bahananya lebih buruk daripada virus-virus yang pernah dikesan. E-Bola, E-Coli, HIV, selesema burung dan virus nipah. Pesan ku buat mu dan anak-anak cucu mu. Terapilah dengan iman dan takwa, munajat dan doa. Yakinlah kemuliaan agama mu. Berjuanglah melawan hawa nafsu yang bergelojak dan membara itu…

p/s: Sebuah karya penulis Nazri Hussein.

Jumaat, 1 Julai 2011

Hargai Tugas Jururawat


            Mungkin agak terlewat untuk saya mengucapkan selamat Hari Jururawat yang disambut pada 12 Mei lalu.

            Namun ada perkara yang menarik untuk dikongsi mengenai dunia jururawat bersama masyarakat pada hari ini.

            Pernahkah anda terfikir untuk menjadi jururawat? Marilah kita luangkan masa sedikit untuk menjadi seorang jururawat. Amat mudah.

            Pertama sekali, sekiranya anda sudah berumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata yang baru dilahirkan , cuba anda bertanya kepada si ibu atau si ayah, sama ada susah atau senang untuk menukar lampin anak pada setiap hari tidak kira siang atau malam.

            Kedua, andai kita masih mempunyai kedua-dua ibu bapa, tanyalah pada diri anda andai mereka lumpuh dan tidak berdaya untuk melakukan kerja, di manakah anda pada waktu itu dan apakah yang anda akan lakukan?

            Bagaimana anda akan melaksanakan tanggungjawab anda sebagai seorang anak? Mudahkah kita kita menjaga seseorang yang lumpuh?

            Ketiga, anda seorang lelaki yang gagah perkasa, namun berapa ramai yang gagah bila melihat darah, berapa ramai lelaki di luar sana yang bersedia melihat mayat setiap hari?

            Beranikah anda sebagai lelaki sejati merawat pesakit yang 90 peratus nyawa mereka berada di tangan anda.

            Andaikan pemergian mereka sudah ditakdirkan, namun anda dipersalahkan oleh ahli keluarga pesakit, bersediakah anda?

            Lelaki sememangnya mahir menggunakan mesin, tapi apakah mudah merawat manusia, di antara mesin dan nyawa manusia, yang manakah lebih bernilai?

            Senario di atas hanyalah 1/100 daripada tugas seorang jururawat. Pernahkah anda terfikir betapa sukarnya bekerja sebagai seorang jururawat?

            Kerja empat orang, menjaga 40 orang dengan pelbagai ragam pesakit. Doktor bagi arahan sahaja, yang membuat kerja adalah jururawat. Kalau anda tidak percaya pergilah melawat.

            Pesakit tahu buat aduan tapi tidak pandai berterima kasih. Mereka menyelamatkan banyak nyawa, namun orang tidak peduli.

            Jururawat bermasaalah hanyalah seorang dua, tapi janganlah dihukum 80,000 orang jururawat yang lain. Jururawat dikritik , namun tidak pernah dengar jururawat mengkritik.

            Tiada waktu rehat diperuntukkan dalam waktu bekerja, namun mereka tetap bekerja sepanjang masa. Takut dikritik masyarakat kerana jururawat tidak buat kerja, sedangkan mereka hanya berehat sekejap sahaja. Bekerja lebih masa adalah perkara biasa, kalau tidak percaya tengoklah kad perakam masa bekerja mereka.

            Bukan semua dapat menuntut elaun kerja lebih masa, banyak alas an, banyak masalah birokrasi. Jururawat hanya tahu bekerja, tetapi mereka masih tidak peka hak mereka sendiri.

            Orang kata kalau tidak tahan bekerja menjadi jururawat, berhenti sahaja. Tetapi orang lupa, jururawat manusia biasa, yang mempunyai hati dan jiwa, mempunyai anak-anak dan keluarga.

            Anak-anak dirumah juga perlu dirawat dan dijaga. Kalau semua jururawat berhenti, bersediakah anda menjadi pengganti? Bolehkah hospital beroperasi? Tanyalah diri anda sendiri dengan seikhlas hati.

            Masyarakat takut penyakit berjangkit, tetapi jururawat sentiasa terdedah dengan pelbagai penyakit. Menjaga pesakit banyak tekanan, tetapi ramai orang buat tidak perasan.

            Kerja mereka sungguh luar biasa, tetapi orang pandang biasa sahaja. Jagalalah kebajikan mereka, janganlah sampai mereka berhijrah keluar Negara mencari kerja, kelak kita tidak cukup pekerja.

            Jangan pandang sebelah mata bakti mereka, kerja mereka sungguh mulia di sisi Allah SWT. Mereka tidak pandai berkata-kata, Cuma tahu bekerja sahaja.

            Mereka simpan di dalam hati, entah sampai bila boleh didengari. Kerja mereka sungguh mulia. Tiada jururawat hospital tidak akan berfungsi.

            Apakah kebajikan mereka sekarang ini sudah mencukupi? Hargailah jasa mereka


PELAJAR JURURAWAT
Kuala Lumpur

p/s : Kecomelan jururawat untuk dihargai!

Selasa, 22 Mac 2011

Neuron Pintar Yang Berusrah. OSEM!

               "Adeh. Panasnya! Ciss kau neuron!" Kata jururawat tika meneguk kopi panas.

           
Berkata neuron: "Aik, aku yang kau salahkan. Tak patut-tak patut (berkata sambil menggeleng ekor axonnya ) ^^



            Apakah yang berlaku seandainya anda tersentuh cerek yang panas? Jika tersentuh, sudah sunnatullahnya anda pasti akan mengangkat kembali tangan anda itu. Bayangkan apa yang berlaku seandainya dibiarkan sahaja. Tentu tidak dapat dibayangkan, bukan?


            Maka disinilah suatu sistem badan manusia memainkan peranan selari dengan perintah dan aturan Allah s.w.t iaitu dikenali dengan namanya Sistem Saraf. Maha Suci Allah, seandainya kita diberi peluang untuk melihat badan kita dengan mikroskop, kita pasti akan melihat berjuta-juta sel saraf yang senantiasa bertasbih menjalankan perintah Allah. Tanpa mengeluh, tanpa sekalipun lalai menjalankan fungsinya hatta sekalipun jika tersentuh alatan panas!
           
Peranan Sistem Saraf
            Sistem saraf merupakan antara sistem terpenting yang beroperasi di dalam badan kita. Tidak salah sekiranya dikatakan sistem ini diumpamakan sebagai khalifah ataupun perdana menteri yang paling cekap di dunia. Meskipun dikatakan sebagai sistem yang kompleks, tetapi kerana sifat inilah yang telah berjaya memainkan peranannya tersendiri dalam tubuh badan kita.

            Sistem ini seolah-olah sebuah organisasi yang memimpin Negara yang terdiri daripada seorang khalifah sebagai ketua dan barisan bironya yang lain. Ia dilengkapi dengan setiausaha yang setia, malah bendahari yang menilai dan menyimpan arahan sebelum disampaikan kepada para ahli-ahli biro yang lain untuk menjalankan perintah yang telah dikeluarkan khalifah.

            Oleh sebab itu, tidak hairanlah meskipun berkali-kali kita berhadapan ancaman ataupun suatu keadaan yang tidak selesa secara tiba-tiba, terus organisasi ini memainkan peranannya untuk menghindarkan kita daripada terus berada dalam situasi yang rumit itu. Anda dapat bayangkan bagaimanakah agaknya sekiranya sistem ini meminta cuti ataupun memohon perletakan jawatan? Maka disinilah kemurahan Allah yang memberi nikmat untuk terus sistem ini menjalankan tugasnya. Tidak dapat tidak, keseluruhan sistem ini atau ibarat negara dikuasai dan dinaungi oleh Maharaja iaitu Allah s.w.t.

Tersusun dan teratur
            Saraf penerima yang berperanan sebagai tentera mengenal pasti ketidaksenangan yang datang secara tiba-tiba. Saraf yang terletak dibahagian kulit ini mengesan tindakan luar seperti bahan panas tersentuh di bahagian kulit. Seterusnya dihantar pula mengikut hierarki iaitu kepada saraf neuron yang berfungsi membawa maklumat informasi yang dicetuskan dalam bentuk saraf impuls (nerve impulses) kepada saraf tulang belakang (spinal cord). Disinilah peranan sebagai bendahari oleh saraf tulang belakang menilai dan menyimpan maklumat sebelum dikeluarkan. Interneuron dalam saraf tulang belakang inilah yang mengadili maklumat yang kemudian menyampaikannya kepada motor neuron.

            Motor neuron boleh dianggap sebagai panglima yang mengetuai dalam melaksanakan misi yang telah diamanahkan. Ia seterusnya membawa saraf impuls kepada otot sebelum otot mengembang dan memberi tindak balas kepada tangan untuk menarik atau menghindarkan diri daripada ketidak selesaan yang sedang dihadapi. Anda dapat melihat fenomena ini terutamanya ketika anda tersentuh atau terpegang bahan yang panas seperti cerek air yang sangat panas.

Tidak dapat dibayangkan sekiranya sistem ini tidak menjalankan fungsinya ataupun menjalankan tugas tanpa mengikut hierarki yang telah ditentukan. Kesemua tindak balas ini juga dikenali sebagai tindak balas ‘reflex arc’ dalam istilah sains perubatan.

Keagungan Allah sebagai pencipta sekecil-kecil makhluk
            Hakikatnya masih banyak lagi kerja-kerja yang dijalankan oleh sistem saraf ini termasuklah fenomena yang mencetuskan reaksi fight or flight dan negative or positive feedback mechanism. Cuma rahsianya masih belum lagi boleh diterokai oleh teknologi canggih masa kini.

            Perjalanan penghantaran maklumat yang teratur dan sistematik ini sungguh mengagumkan terutamanya bagi mereka yang melihat dengan mata hati dan dipandu dengan wahyu Allah s.w.t. Persoalannya, siapakah yang melatih dan menggerakkan mereka sehingga begitu hebatnya mereka dalam menjalankan fungsi yang sebegitu kompleks dan rumit?

            Jelaslah di sini bahawa antara sel-sel ini mempunyai persaudaraan yang rapat dalam menjalankan tugas, bekerjasama memikul amanah dan bergabung menjadi satu dalam melaksanakan arahan daripada Sang Pencipta iaitu Allah s.w.t.  Tidak pernah sekalipun tersilap, berhenti, atau bersatu untuk ‘mogok’ dalam tugasan yang begitu unik dan kompleks.

            Maka terbuktilah kata-kata kasih daripada Allah s.w.t melalui surat-suratNya bahawa seluruh alam sekalipun makhluk sebesar sel ini tidak pernah sekalipun mengingkari dan lupa untuk memuji dan bertasbih dalam menjalankan perintahNya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:


 Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.( Surah Al-Israa’ 17: 44 )
         


            Sistem aliran maklumat daripada tentera kepada khalifah dan sebaliknya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...