Mungkin agak terlewat untuk saya mengucapkan selamat Hari Jururawat yang disambut pada 12 Mei lalu.
Namun ada perkara yang menarik untuk dikongsi mengenai dunia jururawat bersama masyarakat pada hari ini.
Pernahkah anda terfikir untuk menjadi jururawat? Marilah kita luangkan masa sedikit untuk menjadi seorang jururawat. Amat mudah.
Pertama sekali, sekiranya anda sudah berumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata yang baru dilahirkan , cuba anda bertanya kepada si ibu atau si ayah, sama ada susah atau senang untuk menukar lampin anak pada setiap hari tidak kira siang atau malam.
Kedua, andai kita masih mempunyai kedua-dua ibu bapa, tanyalah pada diri anda andai mereka lumpuh dan tidak berdaya untuk melakukan kerja, di manakah anda pada waktu itu dan apakah yang anda akan lakukan?
Bagaimana anda akan melaksanakan tanggungjawab anda sebagai seorang anak? Mudahkah kita kita menjaga seseorang yang lumpuh?
Ketiga, anda seorang lelaki yang gagah perkasa, namun berapa ramai yang gagah bila melihat darah, berapa ramai lelaki di luar sana yang bersedia melihat mayat setiap hari?
Beranikah anda sebagai lelaki sejati merawat pesakit yang 90 peratus nyawa mereka berada di tangan anda.
Andaikan pemergian mereka sudah ditakdirkan, namun anda dipersalahkan oleh ahli keluarga pesakit, bersediakah anda?
Lelaki sememangnya mahir menggunakan mesin, tapi apakah mudah merawat manusia, di antara mesin dan nyawa manusia, yang manakah lebih bernilai?
Senario di atas hanyalah 1/100 daripada tugas seorang jururawat. Pernahkah anda terfikir betapa sukarnya bekerja sebagai seorang jururawat?
Kerja empat orang, menjaga 40 orang dengan pelbagai ragam pesakit. Doktor bagi arahan sahaja, yang membuat kerja adalah jururawat. Kalau anda tidak percaya pergilah melawat.
Pesakit tahu buat aduan tapi tidak pandai berterima kasih. Mereka menyelamatkan banyak nyawa, namun orang tidak peduli.
Jururawat bermasaalah hanyalah seorang dua, tapi janganlah dihukum 80,000 orang jururawat yang lain. Jururawat dikritik , namun tidak pernah dengar jururawat mengkritik.
Tiada waktu rehat diperuntukkan dalam waktu bekerja, namun mereka tetap bekerja sepanjang masa. Takut dikritik masyarakat kerana jururawat tidak buat kerja, sedangkan mereka hanya berehat sekejap sahaja. Bekerja lebih masa adalah perkara biasa, kalau tidak percaya tengoklah kad perakam masa bekerja mereka.
Bukan semua dapat menuntut elaun kerja lebih masa, banyak alas an, banyak masalah birokrasi. Jururawat hanya tahu bekerja, tetapi mereka masih tidak peka hak mereka sendiri.
Orang kata kalau tidak tahan bekerja menjadi jururawat, berhenti sahaja. Tetapi orang lupa, jururawat manusia biasa, yang mempunyai hati dan jiwa, mempunyai anak-anak dan keluarga.
Anak-anak dirumah juga perlu dirawat dan dijaga. Kalau semua jururawat berhenti, bersediakah anda menjadi pengganti? Bolehkah hospital beroperasi? Tanyalah diri anda sendiri dengan seikhlas hati.
Masyarakat takut penyakit berjangkit, tetapi jururawat sentiasa terdedah dengan pelbagai penyakit. Menjaga pesakit banyak tekanan, tetapi ramai orang buat tidak perasan.
Kerja mereka sungguh luar biasa, tetapi orang pandang biasa sahaja. Jagalalah kebajikan mereka, janganlah sampai mereka berhijrah keluar Negara mencari kerja, kelak kita tidak cukup pekerja.
Jangan pandang sebelah mata bakti mereka, kerja mereka sungguh mulia di sisi Allah SWT. Mereka tidak pandai berkata-kata, Cuma tahu bekerja sahaja.
Mereka simpan di dalam hati, entah sampai bila boleh didengari. Kerja mereka sungguh mulia. Tiada jururawat hospital tidak akan berfungsi.
Apakah kebajikan mereka sekarang ini sudah mencukupi? Hargailah jasa mereka
PELAJAR JURURAWAT
Kuala Lumpur
p/s : Kecomelan jururawat untuk dihargai!
Tweet
Tiada ulasan:
Catat Ulasan