School Of Tarbiyyah

Rabu, 28 Disember 2011

Tika Wad itu Berbuah Sakinah



-kredit-
Hari ini adalah hari terakhir untuk saya ditugaskan praktikal di hospital setelah sebulan lebih kurang menjalani praktikal. Minggu ini saya ditugaskan berposting disebuah wad Medikal Surgikal. Suasana ternyata aman seolah melimpahnya rahmat serta kasih sayang Tuhan buat pesakit di wad ini  kerna bersabar dalam menghadapi ujian kesakitan daripada-Nya. Wad An-Naeem namanya. Suasana wadnya seindah namanya, kenikmatan dan kesenangan.

Hospital swasta yang indah ini menggabungkan beberapa buah wad yang mana setiap wadnya diberi nama sejajar dengan keindahan sorga itu sendiri. Sepertinya Wad An-Nuur adalah wad yang mana terdapat pesakit wanita yang baru sahaja melahirkan cahaya matanya ataupun jika dikenali di hospital lain sebagai wad Obstetrik dan Ginekologi.

Begitu juga bagi Wad Ar-Raihan. Keceriaan dan keriangan kanak-kanak sentiasa menjadi melodi dan juga penyeri kepada wad tersebut. Pengalaman pernah mengajar saya di wad tersebut supaya sentiasa melihat kanak-kanak itu seperti kain putih. Bukan dunia yang mencorakkan mereka, tetapi Islam yang ada pada diri kitalah yang berperanan mencorakkannya dengan penuh bergaya.

Melangkah masuk ke wad An-Naeem dengan Bismillah menambahkan keyakinan bahawa akan kupastikan tarbiyyah ini menjadi kenyataan apabila berjumpa dengan seribu macam satu pesakit yang berlainan hati, jiwa dan cinta di sini.

Kelihatan Staff Nurse bertudung labuh putih menchantekkan lagi suasana aman di wad tersebut. Disamping beberapa staf Personal Care Assistance (PCA) lelaki yang berkopiah putih. Allahuakbar! Hospital ini terlalu indah dengan asas-asas pengisian dengan tarbiyyah dan ukhuwah sekaligus mengabungkan perawatan medikal dengan dakwah itu sendiri.

Selesai sahaja mendengarkan pembentangan laporan pesakit hasil daripada pemberian staff nurse yang bertugas shift malam kepada staff nurse yang bertugas pada pagi itu, seperti kebiasaannya akan kedengaran daripada corong-corong semua wad di hospital ini sebuah bacaan doa daripada staf hospital yang bertugas. Suara tersebut sentiasa kukenali. Beliaulah yang sentiasa menjadi muazzin di hospital ini. Gelaran ‘wak’ kepada beliau, menambahkan lagi ikatan erat beliau dengan setiap warga kerja di hospital ini.


Sudah menjadi kebiasaan dalam tindakan perawatan di hospital, setiap hari kira-kira pukul tujuh pagi setiap pesakit akan dikejutkan untuk ditukarkan cadar dan sarung bantal mereka. Selain dapat memberi kesegaran tubuh badan, mereka juga digalakkan untuk mandi di awal pagi. Malahan dapat mencegah daripada mendapat kudis tekanan ataupun bed sore terutamanya bagi pesakit yang tidak mampu  bergerak kerana hilang fungsi gerakan badannya.

Itulah kebaikan yang akan diperolehi oleh setiap hamba yang bersolat Subuh. Manfaat dicintai Sang Pencipta, malah mendapat manfaat kesihatan dan dihindari daripada kesakitan dan kemudaratan. Seribu satu kebaikan dan kesejahteraan terangkum hanya dalam dua rakaat solat fardhu. Maka bukankah suatu kerugian bagi mereka yang melepaskannya? Tidak terkecuali juga buat warga pesakit di sini, wajiblah bagi mereka menunaikan solat hatta hanya solat menggunakan kerlipan mata bagi yang tidak mampu menggerakkan tubuh badan mereka lagi.

Pagi itu saya bersama sahabat handai yang lain turut sibuk membantu bersama staff nurse yang lain menjalankan tugas seperti memberi ubat, membawa pesakit ke bilik Fisioterapi atau dewan pembedahan (Operation Theatre) dan urusan lain yang melibatkan pesakit sendiri.

Saya lantas menjalankan tugas mengejutkan setiap pesakit untuk menukar cadar dan sarung bantal mereka. Kadang-kala ada rasanya sedikit kasihan atau simpati apabila terpaksa kejutkan mereka untuk bangun daripada tidur. Tetapi memikirkan kebaikannya, tugas itu tetap dijalankan. Mana tahu, mungkin ada antara mereka yang terlelap tidur sehingga terlupa untuk bangun menunaikan solat Subuh.

Bilik 14-2 saya masuk dengan memberi ucapan salam.

Terdengar ucapan penerimaan salam suara seorang lelaki. Sedikit perlahan intonasinya.

Saya melihat kembali sedikit catitan hasil daripada laporan staff nurse pagi tadi. Hasil daripada diagnosis kejururawatan menyatakan bahawa pak cik tersebut mengalami kecederaan dan kepatahan di bahagian kaki kanannya. Kepalanya juga mengalami kecederaan dan telah dijahit oleh doktor sewaktu pembedahan dijalankan. Puncanya kerana beliau terlibat dalam kemalangan bersamanya isterinya.

Dalam perawatan, mereka yang kemalangan biasanya dipanggil MVA atau Motor Vehicle Accident.


Saya panggil nama beliau pak cik Abdullah.

Saya memberi salam selepas mengetuk pintu bilik pak cik tersebut. Kelihatannya beliau sedang menonton televisyen. Di katil sebelah, terbaring isterinya tidak bermaya. Lengkap tutupan auratnya.

“Waalaikumussalam. Masuklah nak. ” Balas beliau. Nada yang biasa.

“Pak cik mahu mandi ke? Nanti boleh saya tukarkan cadar dan sarung bantal pak cik sekali.” 

Tanya saya. Melihatkan keadaan beliau dengan kaki yang apabila sedikit bergerak boleh menyebabkan kesakitan, mungkin saya perlu menggunakan kaedah mandi lap di atas katil sahaja.

“Tapi pak cik ada permintaan. Boleh ke kalau pak cik mahu mandi di dalam bilik air kali ini? Pak cik tak rasa selesa untuk mandi di atas katil seperti sebelum ini.” Soal beliau. Sedikit merayu.

Mendengarkan perkataan ‘sebelum ini’ yang diungkapkan oleh pak cik sebentar tadi, menyedarkan saya bahawa sebelum ini mungkin beliau pernah dimandikan atau dibersihkan dirinya dengan dibantu oleh staff nurse wanita.

 Saya mengerti perasaan beliau, malu bercampur sedih apabila dirinya mungkin ingin membuang air kecil atau besar, terpaksa meminta sendiri bantuan daripada orang yang berlainan gender dengan mereka. Bukanlah tiada staff nurse lelaki, tetapi kekurangan staff nurse lelaki masih lagi tidak mampu disembunyikan di seantero dunia kini dalam dunia perubatan. Apatah lagi yang beriman kachak lagi bergaya, eheh.

        Walaupun daripada sudut segi rukun Ikhtilat sendiri yang mengharuskan jika berada dalam situasi tersebut yakni dalam bidang perubatan, bukanlah ia beerti semudah itu. Ada tahapnya dan seharusnya mereka yang sensitif terutamanya da’i muda dalam bidang kejururawatan, inilah masanya untuk mereka menunaikan fardhu kifayah ini yang semakin dilupakan masyarakat kita selama ini.

“Sudah tentu boleh pak cik. Nanti saya panggilkan rakan untuk membantu. Kita boleh menggunakan kerusi roda yang kalis air di wad ini.”

“Terima kasih nak. Boleh pak cik minta pertolongan lagi?”

“Insyaallah sekiranya saya mampu membantu pak cik. Apa dia ye?”

“Pak cik nak mencukur kepala pak cik ni. Biarlah licin. Boleh anak cukurkan ke? Maaflah kalau pak cik banyak meminta, tapi tidak mengapa kalau anak sibuk.”

“Sudah tentu boleh pak cik. Saya sedia membantu. Nanti saya datang kembali ye.”

Saya memahami naluri pak cik tersebut. Kelihatannya beliau seperti ayah saya sendiri di kampong. Kebanyakan pesakit berumur yang tinggal di hospital, kebiasaannya mereka akan berasa sunyi apatah lagi jika mereka jarang dilawati oleh anak atau saudara mereka sendiri. Jadi, peranan jururawat di sini memainkan peranan mengisi rasa kekosongan mereka. Mengisi cawan hati mereka dengan air kaseh dan perhatian daripada jururawat.

Saya keluar daripada bilik beliau sebentar untuk mengambil pencukur dan sebuah besen. Selepas saya meminta izin daripada Kak Murni, staf nurse hospital  yang bertugas, apabila sedang saya mengambil barang tersebut daripada stor peralatan, saya disapa lembut.

“Awak nak ambil apa? Ada yang perlu saya bantu?”

“Oh kak. Saya mahu mengambil pencukur dan besen sebentar. Bilik pesakit 14-2 mahukan saya cukur kepala beliau” Balas saya.

Beliau ialah senior saya yang bertugas sama di wad itu. Uniknya beliau bukanlah beragama Islam tetapi tetap diwajibkan memakai tudung dengan lengkap apabila ditugaskan berposting di hospital ini. Suatu kewajipan daripada pentadbiran kolej dan juga hospital, mereka yang bekerja di sini diwajibkan memakai tudung hatta walaupun kepada pelajar yang bukan beragama Islam. Manis apabila dia mengenakan tudung. Priscilla namanya.

Sehinggakan mereka yang bukan Islam merasa gembira dan tenang apabila memakai tudung dan menutup aurat di sini, bagaimanakah pula agaknya keadaan wanita Islam yang tidak memakai tudung dan menutup aurat, apakah alasannya?

“Nanti saya bantukan boleh?”

Saya teragak-agak menjawab. Sebenarnya saya pun baru mengetahui bahawa kakak tersebut bukanlah seagama dengan saya. Tetapi bukanlah skeptikal, tetapi kerana rasa kemanusiaan dan kebajikan, perbezaan agama bukanlah penghalang melakukan kebaikan bersama.

“Sudah tentu boleh. Mari kita pergi bersama!”

Suasana di wad masih lagi sama. Masing-masing sibuk dengan tugas di wad, baik staff nurse mahupun pelajar yang sedang berpraktikal. Mulianya pekerjaan sebagai jururawat membantu dan menjaga para pesakit, seperti mana kasihnya Rasulullah SAW kepada jiwa dan tubuh sang kafir ketika peristiwa baginda sendiri menziarahi dan menjaga sang kafir tersebut, walau sang kafir pernah mencerca dan menghina baginda sendiri. Hebat Rasullah en.

Ketika saya sedang mencukur kepala pak cik tersebut, saya gumbira dapat berbakti dan berbuat sedemikian. Kadang-kala perasaan terkilan juga pernah timbul, menyoalkan diri sendiri bahawa tidak pernah menawarkan diri bagi menggunting atau mencukur rambut untuk ibu bapa sendiri. Tetapi kepada pesakit, terasa senang dan mudah pula.

Azam untuk meningkatkan kualiti berbakti kepada ibu bapa seperti sekarang pada suatu hari nanti, Insyaallah niat itu muncul ketika itu.

“Pak cik kemalangan sewaktu pulang daripada kampung di Perak, bersama dengan isteri pak cik. Alhamdulillah kami berdua selamat. Isteri pak cik lebih teruk, sehingga sekarang dia masih sedikit pening.” Jelas pak cik tersebut sambil saya mencukur rambut kepala beliau. Pandangan matanya tertumpu pada insan yang terbaring lena di sisi katilnya.

“Pak cik, mahu ditangkap gambar pak cik sedang dicukur?" Kemudian nanti selepas habis dicukur, boleh ditangkap lagi. Boleh dilihat perbezaan sebelum dan selepas pak cik dicukur kepala.” Tanya Priscilla sambil memberikan sekuntum senyuman manis. Saya sedar beliau sedang menggunakan prinsip diversional yang terkandung dalam komunikasi dan psikologi yang pernah dipelajari ketika berada dalam semester satu dan dua dahulu.

Prinsip ini secara amnya, mengalihkan perhatian pesakit daripada tertumpu perhatiannya mengenai masalah yang pernah dilaluinya kepada sesuatu yang menyeronok dan menggumbirakan. Bahkan berguna sebenarnya jika dilakukan dalam tindakan seharian kita terhadap insan atau sahabat kita jika sekiranya mereka berada dalam keadaan bersedih. Ehem anda yang kachak chantek trylah eheh!


“Boleh saja. Cuba ambil telefon bimbit saya di bawah bantal.” Minta pak cik Abdullah. Beliau ketika itu sedang khusyuk melihat cermin sambil dicukur rambut kepalanya oleh saya. Kelakarnya ketika itu, kaki pak cik Abdullah terpaksa di ampu menggunakan tong sampah kecil yang tertutup rapi. Bukan apa, permintaan beliau sendiri.

Suasana dalam bilik sakit pak cik tersebut meriah dengan bicara dan senda antara saya dan pak cik tersebut. Kadang-kala disambut bicaranya oleh Priscilla. Isteri pak cik Abdullah masih terbaring lagi, selepas Priscilla membantu dia menyuakan minuman menggunakan straw sambil terbaring sebentar tadi. Telebisen pula sentiasa memainkan peranannya sebagai tumpuan kepada perhatian pak cik Abdullah, sepanjang proses saya mencukurkan rambutnya.

“Alhamdulillah selesai sudah pak cik. Tetapi ada di sebahagian luka pembedahan di kepala pak cik saya tak dapat hendak mencukurnya. Takut pula sekiranya ada berlaku kecederaan nanti ketika saya mencukur.”  Ucap saya sambil mengelap pula kepala pak cik Abdullah menggunakan air bagi menghilang sedikit rambut yang tertinggal setelah mencukur tadi.

“Alhamdulillah. Tidak mengapa. Terima kasih nak.” Riang nadanya.

Selesai sahaja urusan semuanya termasuk membawakan pak cik Abdullah ke bilik air menggunakan kerusi kalis air bergerak (commot), terus pula saya membantu memakaikan pakaian buat pak cik Abdullah.

Ketika itu jam menunjukkan tepat pukul 10.30 pagi. Saya mengerti dan cuba memberanikan diri dengan bertanya sebuah soalan.

“Pak cik sudah menunaikan Solat Subuh kan pagi tadi?.” Entah dari langit mana keberanian untuk menanyakan soalan seperti itu. Spontan daripada dasar hati. Kalau terasa hati pak cik tu, mahu kena makan pelempang sakti saya rasanya.

“Alhamdulillah sudah. Sepanjang pak cik dimasukkan ke hospital, tidak pernah lagi meninggalkan solat Fardhu dengan izin Allah.  Pak cik menunaikan solat atas katil sahaja. Mendengarkan azan berkumandang melalui azan daripada hospital atau telebisen, pak cik terus menunaikan solat. Melalui bantuan staff nurse, kadang-kala pak cik minta mereka menyerongkan sedikit katil pak cik ni, supaya menghadap kiblat. Alhamdulillah, isteri pak cik juga menunaikan solat dengan kadar yang beliau mampu.”


                Ketika itu, saya sedar sedikit air kesejukan telah menyiram hati dan iman saya. Terharu dan kekaguman di atas manifestasi iman seorang pesakit. Walaupun keadaan yang sebegitu menyukarkan, tetapi beliau tetap teguh mendirikan solat, bahkan di awal waktu lagi. Nanges.

“Alhamdulillah, bagus benar pak cik. Apabila kita menyentuh mengenai aspek mendirikan solat, adalah wajib dilakukan walau bagaimanapun keadaan kita. Sehinggakan badan tidak mampu melaksanakannya, diwajibkan juga solat menggunakan anak mata. Allahuakbar, hebatkan pak cik!”

“Ya, betul kata anak tu. Allah mencintai kita melebihi ibu kita sendiri, maka seperti itulah juga kita harus menunjukkan dan membuktikan cinta kita kepada-Nya walau apa jua cara ketika kita mengalami musibah.”


 “Insyaallah pak cik. Saya keluar sebentar ya kerana  ada hal sebentar yang perlu saya uruskan. Nanti saya datang kembali. Terima kasih pak cik. Seronok berbual dengan pak cik.”

Ketika itu saya terpaksa keluar sebentar kerana ada urusan lain yang juga perlu diselesaikan. Saya dipanggil untuk oleh sahabat seperjuangan saya yang bertugas berbeza wad dengan saya, Hafez untuk pergi ke wad yang memerlukan bantuan saya. Wad As-Saadah kerana ada pesakit lelaki yang memerlukan bantuan kami berdua untuk memandikannya di atas katil. Begitulah rutin kami, kerna kekurangan jururawat lelaki, yang mana kebanyakan mereka ditempatkan di bahagian Kemalangan dan Kecemasan (Accident & Emergency), kami hadir untuk memberikan bantuan. Selain membantu pelajar sedang berpraktikal untuk mendapatkan banyak tandatangan daripada staf jururawat yang bertugas, ia sangat menyeronokkan dapat membantu insan lain yang memerlukan pertolongan.

Syariat pergaulan dalam perawatan tetap dijaga sebaik mungkin kerna tidak mungkin menghalalkan cara walaupun matlamatnya adalah mulia. Itulah kecantikan Islam, tidak menghalang, tetapi sekadar membatasinya. Senyum.

Selesai sahaja urusan memandikan pesakit tersebut, saya pulang semula ke wad saya.

Tidak sedar jam semakin menghampiri waktu solat Zohor, kedengaran panggilan ‘call bell’ daripada bilik pesakit. Saya memahami, bilik pak cik Abdullah. Saya menghampiri bilik tersebut sebelum diberitahu oleh staff nurse yang bertugas, kak Murni.

“Adik comel, pak cik tu mahu bersolat rasanya. Jadi minta bantu dia gerakkan katilnya supaya menghadap kiblat ya, terima kasih.” Eheh hadek chomel.

“Baiklah Kak Murni. Saya akan membantu pak cik tu”

“Assalammualaikum pak cik. Ada yang boleh saya bantu?”

“Nak, mari membantu pak cik. Pak cik mahu solat Zohor. Azan rasanya nak dekat dah. Sebelum tu, boleh bantukan pak cik mengambil wuduk tak? Pak cik tiada wuduk ni.” Minta beliau merendah diri setelah melihat saya. Tersenyum menambahkan lagi nur daripada wajah beliau.

“Alhamdulillah, sudah tentu boleh pak cik. Boleh saya tahu, pak cik ada tuala kecil supaya  kita dapat lapik sedikit besen wuduk pak cik nanti?.” Tersenyum saya. Terlalu gembira kerana permintaan beliau untuk menunaikan solat. Jarang sekali ada pesakit seperti beliau.

“Ada nak, di dalam laci tu. Ambillah. Terima kasih sudi membantu pak cik ya. Menyusahkan anak je.” Merendah diri pak cik tersebut. Tiada sedikit rasa keresahan dan kesedihan tergambar melalui percakapan beliau. Lembut dan sopan.

“Eh! Takde menyusahkan pak cik. Saya malah seronok dapat membantu pak cik menunaikan solat. Semoga Allah terus mengasihi dan mencintai pak cik, seperti mana pak cik tidak melupakan Allah walaupun pak cik diberikan ujian sebegini. Insyaallah amin.” Doa saya. Seterusnya disambut amin oleh beliau dengan senyuman.

“Sebentar ya pak cik. Saya nak keluar sebentar untuk ambilkan besen, supaya mudah sedikit pak cik mengambil wuduk nanti.”

Selesai mengambil besen, saya terus mengisinya dengan air sedikit suam.

Kemudiannya, saya mengalirkan dan menyapukan air ke anggota wuduk beliau. Seronok sangat dapat membantu. Seolah-olah ada secawan air sejuk telah mengalir ke dalam rongga hati saya. Bangga dapat membantu orang lain melakukan ibadah yang sangat besar. Bangga boh!

 Teringat kata-kata guru saya, sesiapa membantu orang lain melakukan kebaikan, maka kebaikan yang dilakukan orang itu, pahalanya sama sahaja amalan orang itu diberikan kepada kita bahkan tidak dikurangi walau sedikit pun, Allahuakbar!

Selesai sahaja membantu, saya terus menyerongkan sedikit katil pak cik Abdullah. Kedengaran Takbiratul Ihram kemudiannya.

Akhirnya, kepulangan menjemput saya. Pukul dua tepat menunjukkan habisnya waktu untuk saya bertugas. Sebelum saya pulang, sempat saya berjumpa pak cik Abdullah.

“Pak cik Abdullah, saya pulang dahulu ye. Insyaallah nanti kita berjumpa lagi . Seronok sangat dapat berbual dengan pak cik.” Tegur saya sambil mengembalikan semula keadaan katil beliau ke posisi yang asal.

“Terima kasih ye nak. Anak sangat banyak membantu. Hanya Allah sahaja dapat membalasnya.”

“Sama-sama pak cik.”

Ketika perjalanan pulang menuju ke pintu gerbang keluar hospital, saya sempat bertembung dengan insan dan warga hospital yang sangat rapat dengan saya. Seorang Personal Care Assistent (PCA) hospital. Saya panggil beliau dengan gelaran ‘ayah’ sepertimana rakan-rakan lain memanggil beliau. Seronok melihat kopiah putih sentiasa berada di atas kepala beliau. Teguh dengan sunnah walau di hospital.

Selesai memberi salam.

“Bagaimana, dengarnya hari ini kamu terakhir posting di hospital. Minggu depan masuk kolej dan memulakan semester baharu?” Tanya ‘ayah’.

“Eh! Bagaimana ayah tahu ni? Soal saya kembali. Tiada jawapan.

“Hafez bagitahu ayah tadi waktu dia nak balik. Insyaallah nanti kita berbual lagi. Ayah shift petang hari ini. Ayah mahu ‘punch card’ kehadiran, nanti lambat. Pergi dahulu.” Pinta beliau selepas pipi ini berlaga dengan pipi beliau sepertinya chenta si ayah kepada anak. Wahai!

“Baiklah. Bye Ayah.” Lambaian saya dibalas dengan senyuman manis ayah.

Ketika selesa berada dalam bas kolej setelah keluar daripada perkarangan hospital itu, kelihatan segaris senyuman terlukis di bibir saya.

Tersenyum kerna terlupa bahawa hari ini adalah hari terakhir saya berposting di hospital untuk semester ini. Bermakna tidak sempat untuk saya mengucapkan kata-kata akhir buat pak cik Abdullah. Terlupa dan teringat mengenainya apabila berbicara dengan ‘ayah’ sebentar tadi.

Bangunan hospital semakin jauh daripada pandangan setelah bas kolej bergerak bersama penumpangnya yang kelihatan letih setelah setengah hari berjasa dalam memberi khidmat bakti untuk pesakit. Letih sambil merebahkan kepala masing-masing kepada kepala kerusi bas.

Seterusnya bangunan hospital itu lenyap daripada pandangan mata saya, membawa ingatan saya kepada sebuah nasihat yang sangat berharga daripada pak cik tersebut. Sebuah kata azimat mungkin akan diingati oleh saya sehingga bila-bila.

 “Ingat ye nak, sesiapa yang membantu orang lain dan memenuhi hasrat orang lain dengan ikhlas tanpa tolakan, Allah akan sentiasa pula membantu dia tanpa mengecewakan dia di akhirat kelak, Insyaallah.”

Akhirnya, mata saya terpejam. Penat mungkin. Pemikiran lantas menerobos ke alam fantasi. Menanti hari esok yang mungkin belum pasti untuk berbakti demi ukhrawi. Mengharap ukhrawi. Senyum bangga.

-PAB-

Cerpen kedua saya yang ditulis kira-kira setahun yang lalu.

Antara persoalannya masih relevan lagikah apabila kita mahu mengabungkan 'medikal itu dengan tarbiyyah ini'?

Adakah kedua-duanya dipisahkan oleh modenisasi atau 'pemikiran kita sendiri' yang TERmemisahkannya?

Semoga bermakna dan Allah Redha!~


Doakan saya yang bangga menjadi jururawat yang kachak beriman lagi bergaya ini agar teros maju, setia hingga hujong sorga eheh!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...