School Of Tarbiyyah

Sabtu, 13 Ogos 2011

Ada apa dengan Nikah Khitbah?

Nikah Khitbah : Solusi Masalah Cinta Remaja
Oleh : Ustaz Maszlee Malik


Selepas Majalah I sudi menerbitkan artikel “Cinta anta dan anti” penulis (ustaz Maszlee Malik) menerima banyak maklum balas. Sama ada melalui sms, panggilan telefon, emel dan juga pertanyaan-pertanyaan. Apabila majalah I bulan Mac pun turut memaparkan reaksi para pembaca mengenai artikel tersebut, persoalan ini semakin popular. Terdapat juga pertubuhan-pertubuhan di IPTA dan IPTS menjemput penulis untuk berbicara “soal cinta”. Walaupun bukanlah seorang pakar dalam hal ini, namun pengalaman yang dilalui sepanjang enam tahun menjadi pensyarah IPT turut mendorong artikel tersebut dihasilkan.

          Antara soalan yang biasa diajukan kepada penulis berkaitan artikel “cinta anta dan anti” ialah: “Apakah kesudahannya?” atau “Apakah penyelesaiannya?” Artikel tersebut seolah-olah tergantung, dan ramai yang begitu ingin mendapatkan jawapannya.

          “Ustaz, jangan biarkan kami terawang-awang begini, berikanlah penyelesaiannya!”, antara bunyi sms yang pernah diterima. Mudah-mudahan nukilan ini cuba memberikan alternatifnya.

Akibat Kurang Bercinta
           Ketika ada yang bertanya punca siswa dan siswi Melayu kurang cemerlang di IPT, saya jawab dengan mudah: “Mereka kurang bercinta!”. Tentu ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut. Mereka lantas mengungkit teori saya bahawa ramainya pelajar Melayu gagal di IPT adalah kerana gejala “coupling”. Saya menegaskan bahawa memang “coupling”lah yang menjadi faktor utama kegagalan pelajar-pelajar IPT, tidak kira Melayu atau bukan. Coupling hanya menghabiskan masa, duit, perasaan dan juga tenaga intelektual yang mereka ada. Coupling hanya membawa kepada kegagalan, kecuali coupling yang halal, iaitu menerusi perkahwinan! Lihat sahajalah laporan akhbar kosmo mengenai kegiatan seks luar nikah dan juga aktiviti pengguguran para siswi IPT di ibu kota.
  
Cuma bercinta dan coupling adalah dua benda yang berbeza. Bercinta yang dimaksudkan ialah proses percintaan yang sebenar. Cinta yang suci dan bersifat positif dan jauh dari pencemaran maknanya yang hakiki. Cinta yang difahami oleh kebanyakan orang dewasa ini adalah “nafsu” dan bukannya cinta. Cinta telah ditukarkan kepada nafsu oleh idealogi materialisme dan juga liberalisme yang berjaya menjajah pemikiran manusia dewasa ini. Cinta sebenarnya bersifat suci dan positif serta jauh dari nafsu. Sayangnya apabila manusia gagal memahami erti cinta, mereka telah menjadikannya sesuatu yang taboo, negatif dan juga tidak suci lagi.

         Coupling pula, walaupun dari segi literalnya bersikap neutral, tetapi telah dikotorkan oleh idealogi liberal yang menjadikannya hanya sebagai definisi kepada perhubungan intim dua insan berlaina jantina sebelum berkahwin. Mengikut tafsiran coupling yang difahami oleh ramai orang dewasa ini, ia bukanlah bercinta, tetapi lebih kepada “melayan nafsu serakah” semata-mata.
Cinta yang dimaksudkan di sini ialah cinta suci. Cinta kepada Allah dan Rasul, cinta kepada agama Islam, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada Negara dan juga cinta kepada pasangan suami atau isteri. Cinta akan menjadi unsur motivasi dan penggerak, dengan syarat ia adalah cinta sejati!

Khitbah Bukan Tunang
          Salah seorang remaja dari salah sebuah IPT di Gombak pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”.
Penulis menjawab: “Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, bercouplelah, tapi kena dengan cara yang halal…iaitu bernikah!”.

         Jika diutarakan persoalan nikah, ramai yang akan memberikan respon yang skeptic. “Mana ada duit!”, “Nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak bapak tak kasi!”, “Nak tinggal di mana?”, “Mana ada kerja lagi!”, “Diri sendiri pun tidak terjaga!” dan pelbagai alasan lagi. Mengapa mereka boleh mengemukakan alasan-alasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja… “Kamu wajib berkhitbah!”.

        Apakah “khitbah”? Jika diterjemahkan secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak.

        Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung”. Bukankah bunyinya amat mengerikan?

           Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan para siswa dan siswi kampus yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.

Khitbah di IPT
         Jika pelbagai alasan yang dikemukakan demi mengatakan bahawa bernikah di alam kampus itu mustahil, maka khitbah adalah solusinya. Kedua-dua pasangan tidak perlu duduk sekali, tidak perlu mencari rumah berasingan, tidak perlu menanggung satu sama lain, tidak perlu makan lebih,tidak perlu membeli peralatan rumah dan perabot-perabot. Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.

           Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di IPT-IPT seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengangguran di IPT-IPT Lembah Klang sudah cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus kea rah maksiat dan nafsu.

            Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.

Kebanyakan ibu bapa menyuarakan kerisauan mereka terhadap kemungkinan anak mereka akan hamil dan ia sudah pasti mengganggu pembelajaran. Penyelesaian untuk perkara tersebut amat mudah. Pasangan itu sendiri perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan pelbagai cara untuk mengelakkan kehamilan sewaktu belajar. Adalah amat naïf bagi mereka yang hidup alaf baru ini tidak mengetahui cara untuk mencegah kehamilan. Jika kaedah pencegahan tersebut gagal, dan dengan izin Allah, pasangan tersebut terpaksa menghadapi fasa kehamilan, maka sokongan ibu bapa amat diperlukan.

Risiko
         Seperkara yang perlu diingat, perkahwinan di kampus ini juga tidak sunyi dari risiko. Adalah terlalu silap untuk menyangkakan semuanya indah belaka tanpa sebarang cabaran. Pernikahan di kampus hanyalah salah satu penyelesaian untuk masalah perhubungan bebas di antara jantina dan juga salah satu kaedah rawatan untuk gejala maksiat di IPT. Sekurang-kurangnya, walaupun ia berisiko, namun ia masih dapat mengelakkan risiko yang lebih besar. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak terlibat dengan gejala berpacaran, serta boleh mengawal diri dan nafsu, adalah digalakkan untuk mereka hanya menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Cadangan nikah kampus atau nikah khitbah ini hanyalah untuk mereka yang tidak mempunyai ketahanan jiwa dan keyakinan diri yang mantap untuk menghadapai cabaran semasa yang begitu menggila. Akhirnya kepada para siswa dan siswi kampus dan juga para aktivis di universiti, walau apapun tindakan yang diambil, pastikan mardhatillah menjadi matlmat utama!

 p/s : Untuk makluman, artikel ini adalah karangan daripada Ustaz Maszlee Malik, seorang kolumnis yang aktif menulis di majalah-majalah seperti Majalah I dan Perspektif. Beliau juga adalah kolumnis tetap laman web seperti www.palestinkini.info dan www.eramuslim.com di Indonesia.

         Kebanyakan bidang penulisan beliau adalah berkisar isu Palestin, isu umat Islam 
antarabangsa dan fiqh kontemporari. 

p/s: Ustaz Azhar Idrus - Penjelasan TERBAIK mengenai Nikah Khitbah

         Selamat membaca dan semoga barakah pernikahan anda nanti, Insyaallah ^^

Jumaat, 5 Ogos 2011

Erti Ramadhan ini


            Bukanlah mudah apabila kita menempuh jalan yang dipenuhi dengan kebaikan, kerana hakikat kebaikan itu sendiri mempunyai duri yang menghiasi pesona duniawi. Dan apabila duri nafsu dan duniawi itu berjaya dicantasi dan dipaksai, maka lahirlah kemanisan ibadah yang hakiki.

            Kata-kata hikmah itu saya teringat apabila ia diucapkan sendiri tiba-tiba oleh hati. Tidak mengerti sama ada ia lahir daripada pengalaman sendiri atau hasil daripada pemerhatian yang terbatasi. Benar, erti Ramadhan ini sebenarnya sangat sukar bagi mereka yang tidak memahami. Persoalannya, adakah ia sekadar bulan Ramadhan yang dalamnya mempunyai juadah yang masyuk. Atau ia seolah umpama penjara bagi insan yang tidak sabar untuk keluar daripadanya segera bagi menyambut hari 1 Syawal yang penuh bermakna.

            Pelik dan takjub bagiku melihat individu yang mana usai sahurnya pertama Ramadhan dimulai dengan dendangan lagu raya. Bahkan bertambah pelik lagi apabila seolah solat Tarawikh itu seakan menjadi solat yang terlalu biasa dan tiada keistimewaan tanpa tindakan untuk mengerjakannya. Tidakkah pelik apabila kita melihat adanya manusia yang melihat di tepi jalan adanya ribuan emas tetapi tidak mempedulinya?

            Subuh itu saya segera ke surau berdekatan kerana ingin mendapatkan ganjaran yang berlipat ganda apabila beribadah di bulan Ramadhan. Mengetahui walau bumi Kuala Lumpur ini tidak mempunyai suasana seperti di madrasah di Ma’ahad dahulu, saya tetap gagahi jua untuk mengamalkan ilmu dan nasihat ustaz juga ustazah saya dahulu. Boleh jadi selangkah kaki ini melangkah, maka ribuan dosa durjana akan diampuni Allah yang Maha Mengasihani.

Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: “Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain”.

            Bagi insan yang merindui hari raya, saya nasihatkan bahawa mungkin anda seharusnya memperbaiki semula niat anda. Bukanlah maksud saya bahawa kita tidak boleh merindui Syawal, tetapi sebaiknya atau awlawiyyatnya kita perlu terlebih dahulu merindui Ramadhan yang mulia ini.

           "Sekiranya manusia mengetahui kebajikan yang terkandung dalam Ramadhan itu, tentulah mereka mengharap-harap supaya Ramadhan berlaku sepanjang tahun."

(Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya)

            Bahkan hadis ini cukup jelas memberitahu bahawa kita sebagai pemuda dan pemudi Islam seterusnya para Da’i abad ini, seharusnya merindui untuk berjumpa dengan bulan Ramadhan. Mengisinya dengan amalan-amalan kebaikan dan kebajikan.

            Bukanlah ganjaran pahala itu ditujukan kepada Allah yang Maha Kaya, tetapi hakikatnya kebaikan dan ganjaran itu akan terpulang semula kepada kita semula. Tetapi mengapa kita masih lagi tidak berusaha kearah itu, bahkan bermalas-malasan seolah olah kita telah dijanjikan Allah untuk ke syurga?

            Buatlah kebaikan dan kebajikan sehingga kita letih melakukannya, dan apabila kita melakukan kejahilan walau sebesar zarah, hati kita akan terpalit kesedihan di atas sebuah penyesalan.

            Pagi itu sewaktu di kelas belum bermula, kedengaran alunan zikir daripada sahabat saya yang duduk di sebelah. Wajahnya bersih seperti disirami siraman iman dan takwa. Hati cemburu akan kebaikannya dan diri ini seolah disengat untuk menjadi yang lebih baik daripada beliau.

            “Boleh saya bertanya, apakah faktor yang mendorong kepada saudara untuk sentiasa aktif di bulan Ramadhan ini dengan solat Tarawihnya bahkan dikesempatan ini juga awak mampu mengalunkan zikir?”

            Kelakar juga ayat yang saya gunakan untuk bertanya. Terlalu puitis. Tetapi itulah tandanya kebaikan yang boleh kita berikan kepada orang lain dengan bahasa yang molek dan indah. Bukankah perkataan indah itu menandakan hati yang indah juga?


            “Sebenarnya, sebelum saya menjawab soalan saudara, apa pengertian Ramadhan itu sendiri kepada saudara?” Soalan yang saya berikan dilempar semula kepada saya. Terdiam. Hakikatnya hati ingin bersuara, tetapi dijawab semula oleh dia.

            “ Ramadhan itulah sebenarnya pengubat jiwa, pengganda amal, bulan kerinduan hamba kepada pencipta-Nya. Penghulu segala bulan yang amat dirindui oleh seluruh makhluk yang mencintai-Nya, bahkan jiwa yang tenang akan berkocak sekiranya Ramadhan ini tidak ditambah amalannya. Imannya pula akan sedih sekiranya amalannya sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain.”

            Itulah antara bualan saya dengan dia pada petang hari tersebut. Seronok berkawan dengan beliau. Apabila kami bersama-sama ke surau berdekatan hostel kami untuk menunaikan solat tarawikh bersama-sama, selalunya dialah akan memberi kata-kata hikmah sehinggakan apabila memandang wajah beliau terus teringat akan pesanan Allah S.W.T iaitu:

Maksudnya: Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.

            Alangkah malangnya sekiranya di dunia kita bersahabat baik tetapi apabila di akhirat kelak kita akan tergolong ke dalam golongan ini iaitu saling memusuhi di akhirat nanti kerana saling tidak menguatkan jiwa dan iman dalam menuju keredhaan Allah S.W.T. Inilah sahabat remaja Islam era dinamik yang kita nanti-nantikan. Anda pula bagaimana?

            Terus-terusan Ramadhan ini seperti tiada manis dan indahnya apabila tiada dihiasi dengan amal ibadah yang bersungguh-sungguh. Menjadikan hiburan seperti lagu hari raya (tiada salah tetapi jangan menjadi keutamaan atau prioriti) sebagai pemanis tiruan sehingga berjaya menjadi acuan yang secara fizikalnya menarik, tetapi hakikatnya keenakan itu tidak dapat hadir kerana menumpukan sesuatu yang tidak bermanfaat.

            Malam itu selepas pulang berjalan kaki daripada tarawikh, sahabat saya ini Berjaya mengetuk pintu nafsu saya untuk berfikir.

            “ Alhamdulillah, sesaknya remaja dan dewasa di surau tadi sungguh membanggakan bahkan menenggelamkan para golongan tua yang kebiasaannya masa mereka banyak dihabiskan di surau atau masjid. Tetapi ada satu persoalan yang dapat kita simpulkan daripada tarawikh tadi, cuba saudara teka?”

            Meniru cara Baginda bertanyakan semula kepada Malaikat Jibril, saya berkata “Yang bertanya itu lebih mengetahui daripada yang bertanya”. Senyuman terlihat di bibir kecilnya.
            “Selesai sahaja habis solat Tarawikh sebanyak lapan rakaat, kita telahpun mendapati bahawa ramainya pemuda Islam kita telah syahid, bahkan ramai sekali daripada mereka yang lari daripada medan perang. Awak perasan ke?”

            Kami berdua memasuki gerbang hostel, lalu dia menyambung.

            “Maka yang tinggal tetap masih lagi golongan yang tua dalam meneruskan perjuangan mereka sehingga ke rakaat dua puluh ditambah dengan witir sebagai penyejuk iman. Perjuangan mereka kadangkala diakhiri dengan moreh sebagai kejayaan dalam peperangan nafsu untuk menyerah diri di tengah-tengah peperangan tadi.”

            Ironinya, saya benar-benar memahami maksud tersirat disebalik kata-kata sahabat saya itu. Itulah yang dikatakan erti Ramadhan itu hakikatnya sangat rapat dengan kekuatan remaja itu sendiri untuk menghayatinya. Malangnya, kita sebagai remaja Islam seterusnya murabbi terus tenggelam dalam lautan hiburan dan masinnya pesona duniawi dalam memfokuskan tumpuan kita terhadap erti Ramadhan.


            Bangunlah wahai Remaja Islam Murabbi, tegakkan saf anda sehingga berjaya menghayati Ramadhan ini, TAKBIR!!


Maka, permulaan kepada kebaikan benar-benar memerlukan mujahadah..
           
           

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...